EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud (belakang, kanan) bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (belakang, tengah) dan ADN Ijok Idris Ahmad (belakang, kiri) meninjau Program Selangor Saring di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 22 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO saran orang ramai sertai Selangor Saring kesan tanda awal darah tinggi

SHAH ALAM, 21 OGOS: Orang ramai disaran memanfaatkan program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri bagi mengesan risiko penyakit di peringkat awal.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata menerusi Selangor Saring orang ramai turut berpeluang mengesan tanda awal darah tinggi.

“30 peratus rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas mempunyai darah tinggi iaitu keadaan apabila tekanan darah berada pada nilai 140/90 mmHg atau lebih.

“Untuk mengetahui anda mempunyai darah tinggi ataupun tidak, anda boleh membuat saringan secara percuma dengan mendaftar di aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat),” tulisnya di Facebook hari ini.

Pada 18 Ogos, Dr Siti Mariah turut menyeru golongan wanita mengikuti saringan berkenaan bagi mengesan tanda awal barah payu dara yang menjadi barah nombor satu paling kerap berlaku merangkumi 31.1 peratus daripada keseluruhan barah yang dialami wanita di Malaysia.

Beliau berkata lebih membimbangkan sebanyak 43 peratus barah berkenaan dikesan lewat iaitu pada tahap tiga dan empat.

Sebelum ini, Dr Siti Mariah memaklumkan seramai 75 daripada 2,078 individu yang menjalani ujian barah menerusi program Selangor Saring disyaki mempunyai gejala penyakit itu.

Beliau berkata semua sampel darah individu berkenaan sudah dihantar ke hospital untuk pengesahan sebelum tindakan lanjut diambil.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan program itu yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Selain mengesan barah payu dara, program hingga 4 September turut menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :