Hospital Sungai Buloh dilengkapi pelbagai kemudahan khusus bagi merawat penyakit berjangkit. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hospital Sungai Buloh batal larangan khidmat hantar makanan kepada staf, pesakit

SHAH ALAM, 11 OGOS: Pihak pengurusan Hospital Sungai Buloh (HSgB) menarik balik larangan tidak membenarkan khidmat penghantaran makanan secara dalam talian kepada staf dan pesakit hospital berkenaan.

Pengarah Hospital Sungai Buloh berkata pihaknya menarik balik larangan itu serta merta selepas isu berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

“Pihak pengurusan HSgB dengan ini menarik balik semua larangan yang ditetapkan dalam memo bertarikh 9 Ogos 2022 berkenaan berkuat kuasa serta merta.

“Terima kasih diucapkan atas segala maklum balas dan pandangan yang dikemukakan,” kata Dr Kuldip Kaur menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Semalam, Gerakan Hartal Doktor Kontrak membidas KKM berhubung larangan penghantaran makanan untuk kakitangan dan pesakit di Hospital Sungai Buloh.

Kumpulan pembela hak pekerja perubatan itu menyifatkan langkah itu tidak sensitif terhadap kakitangan yang mungkin berdepan kesukaran mendapatkan makanan di kawasan hospital ketika bertugas melebihi waktu kerja standard.

Menerusi Twitter @HKontrak, gerakan itu berkongsi gambar surat pekeliling berhubung larangan bertarikh 9 Ogos yang dikeluarkan pengarah hospital berkenaan.

 


Pengarang :