AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hujan lebat dijangka landa Selangor, KL dan Putrajaya hingga 2 pagi

SHAH ALAM, 28 OGOS: Seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diramal ribut petir dan hujan lebat sehingga 2 pagi esok, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan cuaca sama diramal melanda seluruh Negeri Sembilan dan Melaka serta beberapa daerah di Perak, Kelantan, Pahang dan Johor.

Amaran ribut petir dan hujan lebat turut dikeluarkan di beberapa daerah di Sarawak, Sabah dan Labuan sehingga 11 malam hari ini.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :