Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama peserta pertandingan kabbadi Piala Muhibbah Klang di Dewan Sukan Andalas, Taman Sri Andalas, Klang pada 14 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Majlis Penasihat India Selangor ditubuh, perkukuh agenda pembangunan rakyat

KLANG, 15 OGOS: Beberapa individu profesional dalam sektor ekonomi dilantik menganggotai Jawatankuasa Majlis Penasihat India Selangor (SICC), kata Dato Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka antaranya Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) Manokaran Mottain dan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur serta Selangor (KLSICCI) Nivas Ragavan.

Turut dilantik Pengarah MySkill Foundation Pasupathi Sithamparam, Pengarah Eksekutif 27 Group Girish Ramachandran serta enam individu lain.

Beliau memaklumkan SICC bertindak sebagai penasihat kepimpinannya selain mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri bagi pembangunan masyarakat India.

“Penubuhan ini penting supaya Kerajaan Negeri mendapat maklum balas berkenaan urus tadbir dalam kalangan masyarakat.

“Ini merupakan langkah alternatif atau menjadi sumber kedua untuk masyarakat menyalurkan harapan serta pandangan mereka kepada pentadbiran negeri,” katanya ketika mengumumkan senarai jawatankuasa berkenaan.

Terdahulu beliau merasmikan pertandingan kabaddi Piala Muhibah Klang di Kompleks Sukan Andalas, di sini, hari ini. Turut hadir Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj.

Sebanyak 20 pasukan termasuk dari Sarawak bersaing dalam Piala Muhibah Klang yang menawarkan wang tunai RM5,000 bagi juara kategori lelaki manakala juara kategori wanita membawa pulang RM3,000.


Pengarang :