BUDAYARENCANA

Naik minyak naik

Oleh Asyraf Bakti

Dari dalam bilik air kampung yang berlantaikan simen, dia tabur serbuk pencuci baju dan biarkan lantai licin. Bila semuanya sudah serata, dia berlari-lari di atas lantai dan momentumnya sudah bertambah baik. Ini dah masuk minggu kedua dia berlatih sebegini, semenjak dia dengar berita tentang harga minyak yang akan naik.

Pagi itu, Saiful dah nekad nak jadi bodoh. Apa orang nak kata, dia dah tak peduli. Sebagai orang instalasi seni walaupun hanya secara sambilan, ideanya perlu selaras dengan kepayahan rakyat. Dia tengok jam dinding di rumah dan kalau mengikut perkiraan selok-belok jalan, dia akan sampai pasaraya tu tepat-tepat pukul 8 pagi dan mungkin akan jadi orang pertama yang dapat masuk. Tapi hari itu, dia bukan sekadar nak beli minyak masak. Dia nak naik minyak. Kepalanya dah penuh dengan strategi apa yang dia ingin lakukan dari awal sampai habis.

Sambil bawa kapcai dengan perlahan, dia tengok kiri kanan jalan gerai nasi lemak telur mata dan nasi ayam yang sudah pangkahkan harga lama dan letakkan harga baru. Dia berharap juga jikalau barang-barang mentah turun harga nanti, yang entah tak tahu bila, harga lama yang dipangkah itu dikekalkan semula. Saiful tak sedih dengan apa yang terjadi kerana dia berpegang kepada prinsip – kalau nak makan sedap, kena kerja lebih kerap. Ironinya, dia ambil cuti kecemasan hari ini hanya untuk instalasi seni yang dia sendiri tak pasti apa penamatnya.

Dia letak motor jauh dari kamera CCTV. Dia tengok jam di tangan dan memang tepat waktu seperti yang dirancangkan. Dia masuk ke dalam dan terus menuju ke ruangan minyak masak botol 5 kilo. Secara tiba-tiba, sakit hatinya memberi signal bila lalu di depan ruang kosong yang sepatutnya terisi dengan minyak masak paket subsidi. Entah ke mana mereka menghilang membawa diri pun dia tidak pasti. Dia tutup mata dan perlu fokus dengan misi naik minyaknya. Dia capai minyak masak botol dan pergi bayar di kaunter. Geram hatinya ditekan-tekan lagi apabila mendengar bunyi harga minyak masak diimbas juruwang. Sambil berjalan keluar dari kaunter, dia terlihat di depan kedai serbaneka paparan surat khabar dengan tajuk, “PENJUAL BAJU KURUNG MENJADI PELAWAK.”

Dia agak curiga juga dengan tajuk yang ada tapi fokus terus dengan misinya. Dia turun ke eskalator pasar raya dan cari tandas yang berdekatan laman makan. Dia buka baju, seluar dan juga kasut, hanya tinggal seluar dalam. Penutup minyak masak dia buka perlahan. Dia tahu orang di luar yang memerhati aksi epik ini akan cakap dia seorang yang bodoh kerana pembaziran, tetapi hatinya berkata lain. Perlu ada protes yang sebegini walaupun hanyalah sekadar hiburan celah gigi para-para kuasawi. Dia mesej seseorang untuk ambilkan barang-barang yang dia tinggalkan di atas para pam tandas. Lepas mesej dihantar, dia tuang perlahan-lahan minyak ke atas badan lalu sapu sama rata. Tidak ada walau seinci badan pun yang tidak kena. Berkat daripada hari-hari praktis ambil air sembahyang.

Bila dah siap sapu semua, dia keluar perlahan-lahan dari tandas dan tuangkan baki yang ada ke atas lantai kawasan laman makan. Pekerja-pekerja yang ada di situ jadi bingung dan tidak tahu hendak bereaksi lagu mana. Mungkin yang terbaik hanyalah merekod dan muat naik di laman sosial. Itulah yang diinginkan Saiful sebenarnya, supaya orang ramai merekodnya. Lantai jadi licin dan dia menari-nari dengan lincah sambil matanya memerhati abang pengawal yang akan tiba pada bila-bila masa. Memang panjang umur, kerana dia dah dengar bunyi wisel dari jauh. Dia dah bersedia cabut lari sambil di lehernya tergantung kunci motor dan juga satu plastik berisi gumpalan surat khabar.

Pengawal berlari ke arahnya dan dia terus tuangkan saki baki minyak yang ada untuk menyukarkan mereka mengejarnya. Dia berlari ke arah motor dan melihat ke belakang, tiada lagi kelibat pengawal. Dia puas hati dan harap aksi naik minyaknya akan tular malam nanti. Sambil membawa motor dalam keadaan 90 peratus bogel, perutnya terasa lapar dan terus pergi ke rumah bekas kekasihnya yang dia dah lama tinggalkan kerana perangai mudanya yang selalu naik minyak dahulu.

Siti yang baru sudah siram pokok bunga melihat sahaja motor Saiful masuk ke halaman rumah. Dialah orang yang Saiful mesej semasa ada dalam tandas tadi.

“Siti, saya lapar…” Saiful senyum melihat bekas kekasihnya.

“Minyak dah habis, belum buat lagi. Pergilah tengok kat dapur tu apa yang boleh masak. Nasi dengan kicap, adalah.” Kata Siti yang mengekalkan cara tradisional untuk memerah minyak.

Berbekalkan sebiji telur yang dia bungkus di dalam surat khabar, dia keluarkan dan basuh telur itu dahulu.
Dia seolah-olah dalam keadaan darurat. Dia capai sudu di dapur dan di celah-celah pelipat paha, dia kaut perlahan minyak yang terlekat. Sedikit demi sedikit dia letakkan dalam kuali. Dia buka api perlahan dan goyang-goyangkan kuali seperti pekerja apom lenggang untuk samaratakan minyak yang ada. Dia pecahkan telur dalam mangkuk dan tuang perlahan-lahan ke dalam kuali. Siti yang tengok dari tepi hanya senyum dan cakap, “saya nak telur kuning boleh ke?”


Pengarang :