Pada harga RM250,000, rakyat Selangor yang layak berpeluang memiliki kediaman selesa dilengkapi pelbagai kemudahan seperti penyaman udara, pemanas air, kabinet dapur, televisyen, peti sejuk dan almari pakaian. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKNS bina 10,000 unit rumah, bantu rakyat miliki kediaman

SHAH ALAM, 19 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal membina 10,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Dato’ Mahmud Abbas berkata usaha itu dilakukan bagi memastikan rakyat memiliki kediaman selaras pelan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Dalam membantu Kerajaan Negeri, kita membina 1,000 unit rumah mampu milik setahun dan sasar 10 tahun dapat bina 10,000 unit,” katanya kepada SelangorKini.

Jelas Mahmud lagi, pihaknya berharap Kerajaan Negeri membantu daripada aspek pinjaman bagi membolehkan lebih ramai rakyat di Selangor membeli rumah.

“Kita tahu polisi Kerajaan Negeri agihkan rumah kepada orang kurang mampu membeli rumah berharga mencecah RM500,000. Isu yang perlu dilihat ialah rakyat negeri ini yang Selangor perlu membantu golongan yang boleh membeli atau sebaliknya.

“Ini yang perlu diberi perhatian dan perlunya kerjasama dengan bank-bank agar golongan yang benar-benar mampu membeli tetapi tiada rumah boleh memilikinya,” katanya.

Sebelum ini, ketika membentang RS-1, Dato’ Menteri Besar memaklumkan pemilikan rumah mampu milik di Selangor menghadapi tiga isu utama antaranya ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan untuk saiz dan jenis rumah serta kesukaran dalam mendapatkan pembiayaan.

Oleh demikian, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dalam membantu rakyat memiliki kediaman selesa, Kerajaan Negeri akan meningkatkan pembinaan Rumah Idaman dan Rumah Selangorku Harapan serta meneroka bentuk kerjasama dengan institusi kewangan terutama perbankan bagi menyelesaikan isu pembiayaan perumahan.


Pengarang :