Muhammad Sofian Abdullah atau Sofyank antara selebriti media sosial yang popular kerana kandungan video ala silap mata menggunakan teknik suntingan kesan visual video (VFX).
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Sentuhan magis Sofyank tarik perhatian pelakon terkenal Hollywood

Muhammad Sofian Abdullah atau Sofyank antara selebriti media sosial yang popular kerana kandungan video ala silap mata menggunakan teknik suntingan kesan visual video (VFX).

Sentuhan magisnya ditagih sehingga ke Hollywood. Pemuda itu pernah bekerjasama dengan pelakon terkenal dari Amerika Syarikat seperti Ryan Reynolds, Will Smith dan John Cena selain selebriti media sosial terkenal dunia, Zach King.

Wartawan Amin Ridzuan Ishak menemu bual Sofyank pada 4 Ogos yang mengimbau perjalanannya dalam bidang itu bermula di kafe siber di kampung halamannya di Wakaf Bharu, Kelantan sehinggalah beraksi dengan bintang filem terkenal dunia.

Saya rasa ini telah menetapkan piawaian tidak adil untuk temu bual tergesa-gesa selama empat minit.” Itu tulis pelakon terkenal Hollywood, Ryan Reynolds di Twitter ketika memuji kandungan promosi filem ‘Adam Project’ yang dihasilkan anak tempatan Muhammad Sofian Abdullah.

Sofyank bergambar bersama pelakon terkenal Will Smith.

Berlatar belakang sedutan babak filem disiarkan di Netflix, beliau yang terkenal dengan panggilan Sofyank berpeluang ‘mengarahkan’ selebriti terbabit. Tempoh empat minit digunakan sebaik mungkin oleh anak muda berusia 26 tahun itu untuk menerangkan ideanya kepada Reynolds.

Selesai penggambaran dalam talian, Sofyank yang popular kerana mahir menghasilkan video ala silap mata di media sosial, kemudian menyunting rakaman yang hasilnya menunjukkan seolah-olah beliau berlakon dengan Reynolds.

Di dalam video itu, pelakon berusia 46 tahun meminta Sofyank menggunakan mesin waktu untuk mencarinya pada masa silam.

“Sofian saya ada tugasan untuk kamu dalam ‘The Adam Project’, kamu perlu pergi ke masa silam dan cari saya yang berusia 12 tahun. Ok?” arah Reynolds.

Pengalaman ‘beraksi’ dengan suami kepada Blake Lively itu antara pencapaian hebat Sofyank sejak berkecimpung sebagai penyedia kandungan menggunakan teknik suntingan VFX pada 2015.

Beliau juga pernah beraksi dengan Will Smith dan John Cena selain idolanya, Zach King, selebriti media sosial terkenal yang turut menghasilkan video ala silap mata menggunakan teknik suntingan.

Lulusan diploma perakaunan itu masih ingat bagaimana beliau terjebak dalam dunia VFX. Minat menghasilkan video kesan khas bermula sejak di tingkatan dua selepas melihat video di YouTube.

Bermula di kafe siber

Datang daripada keluarga berpendapatan rendah menyebabkan Sofyank sukar untuk memupuk minatnya lantaran tiada komputer riba selain tiada kemudahan internet di rumah.

Sofyank meneruskan usaha menghasilkan video dengan kesan khas meski menuntut jurusan berbeza iaitu perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah, Perak.

Kafe siber di kampungnya di Wakaf Bharu, Kota Bharu, Kelantan terletak satu kilometer daripada kediamannya. Jika rakan sebaya lain giat bermain permainan video, lain pula bagi Sofyank.

Beliau akan memuat turun video teknik kesan khas yang kemudiannya ditonton semula di komputer riba sumbangan kerajaan kepada kakaknya. Di peranti itu juga, Sofyank cuba menghasilkan video menggunakan perisian movie maker.

Proses berkenaan bukan mudah dan memerlukan ketelitian. Ditambah spesifikasi rendah komputer riba itu menyebabkan masa panjang diambil untuk menghasilkan karya yang disunting.

“Saya hasilkan video yang saya diklon, ada dua saya dalamnya. Memang susah dan setelah mencuba beberapa kali baru berjaya.

“Waktu itu hanya dapat tunjuk dengan kawan terdekat sahaja kerana tiada Instagram lagi, mulai daripada situ saya cuba hasilkan lebih banyak video di sebalik kekurangan peralatan,” katanya.

Ketika melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah, Perak dalam bidang perakaunan pada 2016, Sofyank meneruskan usaha menghasilkan video dengan kesan khas meski jurusan pelajaran diambil berbeza.

Baginya itu bukan penghalang tetapi boleh dijadikan bekalan untuk mencari rezeki sekiranya sukar mendapat pekerjaan dalam bidang perakaunan.

Jumpa Zach King

Tamat pengajian pada 2018, Sofyank diterima bekerja di stesen Radio Era sebagai penyunting visual. Pengurusan radio itu lebih tertarik dengan bakatnya yang lebih menonjol dalam bidang VFX berbanding perakaunan yang dipelajarinya di menara gading.

“Mulai saat itu, saya mula mengorak langkah, hasilkan lagi banyak video berkualiti. Impian saya hendak jumpa Zach King.

“Sebab itu setiap kali saya muat naik video di media sosial, saya akan sebut namanya dalam hantaran supaya beliau nampak karya saya tetapi tiada juga jawapan,” katanya.

Sofyank bergambar bersama selebriti media sosial terkenal Zach King.

Hampir setahun tiada sebarang perkembangan. Pada penghujung Disember 2018, beliau membuat hantaran di Instagramnya yang memberitahu azam tahun baharunya untuk bekerjasama dengan Zach atau nama sebenarnya, Zachary King sambil menyelitkan video ala silap mata dihasilkannya.

Beberapa bulan selepas itu, beliau terkejut apabila menerima pesanan di media sosial pada Julai 2019. Mesej peribadi berkenaan datang daripada idolanya Zach yang menyangka Sofyank warganegara Indonesia.

Zach menjemputnya bertemu di Indonesia kerana kebetulan bintang media sosial itu berada di republik berkenaan. Sudah pasti Sofyank tidak mahu melepaskan peluang.

Namun, dalam keseronokan timbul perasaan bimbang kerana beliau tidak pernah ke luar negara. Pasport pun tiada. Masa singkat untuk membuat keputusan sama ada hendak terbang bertemu idolanya atau kekal di Malaysia sahaja.

“Kawan-kawan beri semangat supaya jangan lepas peluang itu, mereka bantu beli tiket kapal terbang dan tempah hotel… saya pula bergegas ke pejabat imigresen untuk buat pasport. Esoknya saya terus terbang ke Indonesia untuk memenuhi impian bertemu Zach,” katanya.

Pikat syarikat gergasi

Meski pertemuan itu singkat, ia mengubah kehidupan Sofyank. Beliau bertambah yakin selepas menerima kata-kata semangat daripada Zach yang turut menyatakan rasa kagum dengan video kesan khas yang dihasilkannya.

Karyanya juga semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Pengikutnya di Instagram melonjak hingga 839,000 pengikut dan 143,000 di Twitter setakat Ogos 2022. Videonya pernah ditonton 38 juta kali menerusi aplikasi TikTok. Satu angka membanggakan Sofyank.

Sofyank mempunyai 839,000 pengikut di Instagram dan 143,000 di Twitter setakat Ogos 2022.

Rezekinya juga murah. Beliau mendapat permintaan menghasilkan iklan menggunakan teknik suntingannya daripada syarikat gergasi. Peluang itu dikongsi dengan rakan lain yang membantunya merakam video.

Melangkah ke hadapan, selain bekerja dengan syarikat swasta lain sebagai penyunting visual, beliau turut menghasilkan kandungan sendiri bagi menambah pendapatan.

Ditanya sama ada beliau berminat melangkah ke bidang seni kreatif sebagai pelakon, Sofyank menolak meski mempunyai pengalaman ‘berlakon’ dengan nama besar di Hollywood seperti Reynolds.

“Saya bukan dari bidang lakonan, kalau hendak masuk bidang seni pun mungkin sekiranya ditawarkan jawatan penyunting, sebab itu dunia saya sebenar,” ujarnya.

Akui Sofyank, penggunaan media sosial yang tiada sempadan mungkin mendedahkannya kepada kritikan. Sudah pasti tidak semua menyukai kandungan yang dihasilkannya kerana setiap individu berbeza pendapat.

Namun, beliau tidak melihatnya dari sudut negatif sebaliknya mengambilnya sebagai teguran membina. Jika dapat kritikan tidak berasas, Sofyank ambil sikap tidak mahu mempedulikannya.


Pengarang :