BUDAYARENCANA

Sumpah cinta dalam filem Hang Tuah

Oleh Adam Taufiq Suharto

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

Bahas dongeng/nyata Hang Tuah, laksamana daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka, terus menyambung hayat dalam peradaban moden. Namun, Kassim Ahmad meninggalkan kita ikhtisar yang berbeza: Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah cerminan kepada tuah-untung dan jatuh-malangnya Melaka. Misalnya, ketika Hang Tuah muda dan membesar, kerajaan Melaka membangun. Ketika Hang Tuah dilantik selaku laksamana yang terkenal dengan gagah-perkasanya, Melaka menikmati era gemilangnya. Akhir sekali, ketika Hang Tuah menginjak tua, Melaka melalui zaman merudumnya.

Dalam filem Hang Tuah (1956) pula, sutradara Phani Majumdar memaparkan perempuan sebagai cerminan jatuh-bangunnya seorang Hang Tuah. Dalam filem ini, perempuan yang menjadi cerminan kepada jatuh bangun Hang Tuah adalah watak Melur. Kisah Melur menarik kerana watak perempuan dari suku Orang Darat tidak pernah berlegar-legar dalam Hikayat Hang Tuah, malah tidak muncul dalam layar perak selepas itu. Hang Tuah nyata terjerat antara kesetiaan kepada sultan dan cintanya kepada Melur. Tidak keterlaluan untuk mengatakan kisah cinta Melur dan Hang Tuah tulang belakang kepada filem itu.

Melur sebelum Hang Tuah sampai ke Gunung Ledang menanam cinta kepada Hang Tuah. Dia pembantu setia Adiputra, mahaguru yang tinggal di puncak Gunung Ledang dan bertanggungjawab menjadikan lima bersaudara memiliki silat yang tidak tertanding. Dalam membentuk diri menjadi pahlawan bawah tunjuk ajar Adiputra, Hang Tuah sempat menyemai cinta yang ditanam Melur. Namun, manja dan tawa mereka itu terhenti tatkala Hang Tuah menerima perintah Adiputra untuk meninggalkan Gunung Ledang agar lekas menjadi hulubalang di Melaka seusai pengajian.

Pantun Melur

Dari situlah Melur bersumpah, suatu hari nanti beliau akan memijak bumi Melaka untuk menuntut cinta Hang Tuah. Hatta, berpantunlah Hang Tuah menjawab impian Melur itu:

“Melur,

perahu bertutup dengan daun,

penuh sarat berisi lokat,

kalau hidup seratus tahun,

Sepanjang hayat aku nantikan”

Namun, pantun itu hanya kata-kata berhias pada hari-hari seterusnya setelah Hang Tuah menjadi laksamana. Tanpa Hang Tuah sedar, pantun sumpah setia itu yang menentukan tuah-malangnya kemudian hari. Selagi teguh cintanya kepada Melur, selagi itulah masih ‘bertuah’. ‘Tuah’-nya si Hang Tuah bergantung kepada kesetiaan cintanya buat Melur.

Misalnya, babak Hang Tuah melagukan irama rindu kepada Melur di Pahang tetapi Tun Teja yang kebetulan angaukan Hang Tuah terdengar lagu itu lalu menyangka puja-puji itu untuknya. Begitupun, selepas Tun Teja merelakan Hang Tuah ke Melaka, Tun Teja sedih apabila mengetahui yang Hang Tuah ada perancangan tersendiri. Tun Teja yang masih melangit kasihnya sanggup makan sirih jampi yang ditawarkan Hang Tuah supaya lekas melupakan pahlawan pujaan hatinya lalu menjadi permaisuri Sultan Melaka.

Maka, dalam keadaan sedu-sedan, Tun Teja bersenandung:

“Berkorban apa saja

Harta atau pun nyawa

Itulah kasih mesra

Sejati dan mulia.”

Dari satu sudut, Hang Tuah ‘bertuah’ kerana berjaya membawa Tun Teja untuk dipersembah kepada Sultan Melaka lantas mencuri hati baginda manakala dari sudut lain, Hang Tuah masih ‘bertuah’ kerana menggenggam sumpah cintanya kepada Melur yang walau jauh beribu batu tetapi dekat bak menyatu.

Bibit-bibit pergeseran antara Hang Tuah dan Hang Jebat bermula tatkala Hang Tuah pulang dari Pahang, usai membawa pulang Tun Teja untuk Sultan Melaka. Dalam adegan ini, Hang Jebat berbalah kerana Hang Tuah tidak mahu membebaskan Melur yang terperangkap dengan tipu helah Patih Kermawijaya dan Orang Kaya Tun Ali hingga terpaksa menjadi dayang raja.

Hang Tuah: Apa kita boleh buat, Jebat? Dia sudah menjadi milik Tuanku bila dia menjadi dayang istana. Kita tak boleh berbuat apa-apa.

Hang Jebat: Tuah, dia sanggup menempuh seribu seksa datang kemari bertemu dengan kau. Jadi kau nak biarkan dia jadi dayang istana selama-lamanya?!

Hang Tuah: Tapi aku sekarang serba salah. Yang mana satu mesti aku utamakan? Kasih sayangku kepada Melurkah? Atau taat setiaku kepada Sultan?

Jelaslah, yang meretakkan cinta Hang Tuah-Melur bukan jelitawan Tun Teja tetapi ‘cinta’ Hang Tuah kepada sultannya. Dari sinilah, Hang Tuah yang sentiasa ‘bertuah’ kerana teguh cintanya mulai ditimpa malang kerana tidak lagi mempertahan sumpah cintanya. Dalam pertemuan rahsia antara Hang Tuah dan Melur di istana, Hang Tuah menegaskan beliau tidak mampu melakukan apa-apa kerana takutkan bala andai sultan mengetahuinya. Maka, Melur yang asing dengan undang-undang dan adat Melayu akur dalam bingung, “Keadilan apakah ini Tuah? Aku sayangkan kau, dan kau sayangkan aku. Undang-undang yang sekejam ini menjadi batu penghalang.”

Angkara fitnah

Pertemuan rahsia yang menjadi sebahagian aturan Patih Kermawijaya dan Orang Kaya Tun Ali menyebabkan sultan murka dengan Hang Tuah angkara termakan fitnah Hang Tuah bermukah dengan dayang barunya, Melur. Kemurkaan itu akhirnya dibayar dengan hukuman bunuh kepada Hang Tuah yang dianggapnya pengkhianat.

Uniknya filem ini, selain Hang Jebat yang membara dendam dan amarah kepada mereka yang menganiaya Hang Tuah, Melur juga membalas dendam. Melur berhasil membunuh Patih Kermawijaya dalam keramaian di kediaman pembesar walaupun akhirnya Melur mati direjam lembing. Hang Jebat kemudian menyambung keberanian Melur dengan pemberontakan.

Selepas kematian Melur dalam membuktikan cintanya kepada Hang Tuah dengan pembalasan dendam, babak seterusnya lebih terarah kepada hubungan Tuah-Jebat sehingga Hang Tuah membunuh Jebat dan menghentikan amukannya. Namun, hal menarik adalah bagaimana Hang Tuah selepas kematian Jebat menjadi orang yang tidak keruan, keliru, nestapa dan tertanya-tanya, ‘Siapakah yang benar? Jebat kah benar? Atau akukah benar?’

Walaupun monolog Hang Tuah boleh ditonton umum, tetapi dalam hal filem ini, harus diingati pergeseran antara Hang Tuah dan Hang Jebat dalam soal kesetiaan kepada sultan adalah membebaskan Melur daripada menjadi dayang serta menghapuskan pembesar yang menganiaya Hang Tuah. Sampai ke penghujungnya, kita sedar, filem Hang Tuah adalah filem asmara berbanding filem pahlawan dan ceritanya berpusat kepada soalan Hang Jebat kepada Hang Tuah;

‘Engkau kasihkan Melur dan Melur kasihkan engkau. Apa kena mengenanya dengan kesetiaan kepada Sultan?’

 


Pengarang :