Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin berucap ketika program Penyampaian Bantuan Sumbangan Mangsa Bencana Ribut Daerah Kuala Selangor di Dewan Dato’ Pengawa Permatang, Kuala Selangor pada 7 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN: Lebih banyak pengguna di DUN Permatang bakal nikmati air percuma

KUALA SELANGOR, 7 SEPT: Dianggarkan seramai 10,000 hingga 15,000 akaun pengguna di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang bakal menikmati skim air percuma 20 meter padu.

Wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin berkata penambahan itu susulan pengumuman Kerajaan Negeri yang menaikkan had kelayakan Skim Air Darul Ehsan daripada RM4,000 kepada RM5,000.

“Kebanyakan penduduk di Permatang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), jadi mereka sudah mohon skim ini. Bagaimanapun apabila ada kenaikan (had kelayakan), saya jangka bilangan penerima manfaat lebih besar.

“Saya percaya ini adalah inisiatif yang sangat baik daripada Kerajaan Selangor demi memastikan kebajikan rakyat terjaga,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis agihan bantuan kewangan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada 206 keluarga terjejas ribut di Dewan Dato’ Penggawa Permatang di sini.

Dalam pada itu, Rozana turut menyeru penduduk di kawasan terbabit yang memenuhi kriteria supaya merebut peluang ditawarkan.

“Jangan sia-siakan peluang kerana 20 meter padu ini mampu menjimatkan kos sekitar RM11.20. Amaun itu sangat besar, jadi saya rasa penting untuk rakyat daftar dalam skim ini,” katanya.

Pada program ambang merdeka, Dato’ Menteri Besar berkata kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati skim air percuma 20 meter padu dengan kos lebih RM30 juta dibayar sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan penambahan itu berikutan had minimum pendapatan yang layak menerima manfaat tersebut dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM5,000.

Ketika ini, sebanyak 237,000 akaun pengguna menikmati Skim Air Darul Ehsan dengan pendaftaran masih terbuka kepada penduduk Selangor sehingga 31 Disember 2024.

Syarat kelayakan lain meliputi pemohon mestilah warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja.


Pengarang :