Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan lesen pasar malam kepada Nuriman Kudarat (kanan) pada program Merangsang Ekonomi Mensejahtera Komuniti Petaling Jaya di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 26 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cukai taksiran rumah kampung, kos rendah, fi lesen penjaja dikecuali tahun depan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kerajaan Negeri memutuskan untuk meneruskan pengecualian cukai taksiran tahun depan bagi rumah kampung dan kos rendah serta fi lesen penjaja.

Amalan pengecualian tersebut diperkenal Kerajaan Selangor setiap tahun sejak 2016.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengecualian tersebut yang melibatkan kos bernilai RM68.74 juta antara usaha untuk melegakan tekanan hidup rakyat Selangor.

“Mesyuarat EXCO Selangor semalam (14 September) putuskan untuk teruskan pengecualian cukai taksiran rumah kos rendah dan rumah di kawasan kampung, dan fi lesen penjaja bagi tahun 2023.

“Pengecualian tersebut bernilai RM 68.74 juta. Langkah ini harapnya dapat lega tekanan hidup rakyat Selangor,” katanya di Twitter.

Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menerusi kenyataan media memaklumkan inisiatif tersebut adalah tahun kelapan dilaksanakan sejak 2016.

“Negara kita kini dalam fasa pemulihan pascapandemik Covid 19, namun rakyat Malaysia rata-rata masih menghadapi cabaran seperti kadar inflasi yang tinggi, kejatuhan nilai ringgit serta kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) secara berterusan yang memberi kesan kepada pinjaman perumahan dan kenderaan.

“Sebagai usaha untuk membantu meringankan beban rakyat, Kerajaan Selangor memutuskan untuk memberi pengecualian fi lesen penjaja serta cukai taksiran bagi rumah kampung dan kos rendah pada tahun 2023,” katanya.

Sze Han berkata Selangor bertekad untuk bersama rakyat dalam menghadapi cabaran kos hidup yang tinggi sepert pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

 


Pengarang :