Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah sempena program Jelajah Ehsan Rakyat di Flat Merpati B, Pandan Indah pada 15 September 2022. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kos hidup naik, penduduk harap jualan murah jadi program bulanan

AMPANG JAYA, 15 SEPT: Program jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diharap dianjur secara bulanan sekali gus membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian rakyat.

Penduduk Flat Merpati B, Pandan Indah, Muhamad Shahrizal Muhamad Sham, 41, berkata inisiatif sedemikian memberi manfaat besar kepada golongan bawahan sepertinya.

“Pendapatan saya sebagai pemandu teksi sentiasa tidak menentu. Jadi, dengan adanya jualan murah ini, ia membantu menjimatkan belanja dapur.

“Saya dan isteri amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya bulan ini kami dapat mengurangkan sedikit perbelanjaan keluarga kami,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, peniaga Nor Suriani Derome, 53, berkata beliau sentiasa menyemak lokasi program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri selain berharap dianjur berhampiran tempat tinggalnya.

“Saya sudah mengetahui mengenai program ini daripada rakan, jadi saya tertanya juga bila ia akan sampai di kawasan saya.

“Syukur kerana ia akhirnya sampai ke sini. Saya datang awal supaya dapat beli lebih banyak barangan yang sedikit sebanyak dapat tampung kenaikan kos hidup,” katanya.

Program Jelajah Ehsan Rakyat di Flat Merpati B, Pandan Indah di sini, membawa 300 unit bagi setiap produk makanan asas iaitu ayam, daging, ikan, beras, minyak masak dan telur ayam.

Ia menawarkan jualan harga barangan makanan pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Pada 30 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan program JER yang dilancarkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.

 


Pengarang :