AGENDANASIONAL

LHDN tangguh bayaran cukai pegangan bernilai kecil

PUTRAJAYA, 27 SEPT: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menangguhkan bayaran cukai pegangan bernilai kecil bagi pendapatan royalti, faedah dan pendapatan kelas khas bermula 1 Ogos 2022.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kebenaran penangguhan bayaran bagi dua kategori pendapatan itu bagi memudahkan pembayar membuat bayaran cukai pegangan beramaun kecil yang berulang.

Ia adalah kategori pendapatan faedah atau royalti yang dibayar kepada penerima tidak bermastautin di bawah Seksyen 109, Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan pendapatan tertentu kelas khas yang dibayar kepada penerima tidak bermastautin di bawah Seksyen 109B akta sama.

“Situasi yang layak dibenarkan penangguhan bayaran cukai pegangan dilakukan sekali dalam setiap tempoh enam bulan adalah amaun bayaran cukai pegangan adalah bernilai kecil iaitu tidak melebihi RM500 bagi sesuatu transaksi bayaran.

“Pembayar perlu mengetahui bahawa bayaran cukai pegangan berkenaan akan dilakukan sebanyak lebih dari sekali dalam tempoh lanjutan yang dibenarkan iaitu dalam tempoh enam bulan berkenaan,” menurut LHDN.

Bayaran cukai pegangan dan pengemukaan borang bayaran boleh dilakukan dalam satu borang pada atau sebelum 30 Jun bagi transaksi bayaran yang dilakukan kepada penerima tidak bermastautin antara 1 Dis tahun sebelum hingga 31 Mei tahun semasa.

“Ia juga boleh dilakukan pada atau sebelum 31 Dis bagi transaksi bayaran yang dilakukan kepada penerima tidak bermastautin antara 1 Jun hingga 30 Nov tahun semasa,” menurut LHDN.

LHDN turut memaklumkan bahawa ruangan tarikh bayaran dikreditkan dalam Borang Bayaran CP37 atau CP37D perlu diisi dengan tarikh 30 Jun atau 31 Dis mengikut tempoh transaksi yang terlibat, dan pembayar dinasihatkan agar menyimpan senarai penerima bayaran cukai pegangan amaun kecil yang berkaitan untuk disemak oleh LHDN sekiranya perlu.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara itu boleh dikemukakan melalui Care Line di talian 03-89111000 atau 603-89111100 bagi luar negara, Live Chat dan Borang Maklum Balas menerusi portal rasmi LHDNM.

-BERNAMA


Pengarang :