PBTSELANGOR

MPSepang sedia RM206.95 juta laksana pelan tahun depan

SHAH ALAM, 30 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyediakan perbelanjaan RM206.95 juta pada tahun hadapan bagi melaksanakan dasar yang dirancang.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain turut menyasarkan anggaran hasil berjumlah RM185.95 juta dengan mengambil kira prestasi pencapaian separuh penggal pertama 2022.

“Penyediaan ini mengambil kira prestasi pencapaian bajet 2021 dan pencapaian separuh penggal pertama bajet 2022 dalam memastikan dasar dan strategi MPSepang dilaksana sepenuhnya,” katanya.

Bercakap dalam mesyuarat bulanan hari ini, beliau turut menggariskan lapan strategi utama dalam belanjawan berkenaan bagi merencana program dan pembangunan Sepang.

Menurut Abd Hamid, antara perkara yang akan dilaksana ialah mempelbagai punca pendapatan, meneruskan belanja berhemah dan meningkatkan kualiti persekitaran serta perkhidmatan bandar.

Selain itu, MPSepang turut merangka bajet inklusif dengan mengambil kira aspek sosial dan keselamatan sebagai persediaan menghadapi bencana serta perubahan iklim.

“Bajet ini juga disediakan dengan penambahan peruntukan meliputi penyelenggaraan infrastruktur serta menaik taraf kemudahan awam sebagai persediaan dalam menghadapi bencana,” katanya lagi.


Pengarang :