Pemandangan bandar Klang (gambar hiasan). Foto Facebook Klang Bandar DiRaja
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Pembaharuan lesen niaga, industri MPK bagi 2023 dibuka mulai 1 Oktober

SHAH ALAM, 30 SEPT: Orang ramai boleh memperbaharui lesen perniagaan, industri dan iklan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi tahun 2023 bermula 1 Oktober ini.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata semakan dan bayaran secara dalam talian boleh dilakukan menerusi pautan ilesen.mpklang.gov.my

“Bagaimanapun pembaharuan untuk lesen sementara perniagaan dan industri, lesen perniagaan pemutihan, lesen perniagaan berisiko, lesen hiburan serta lesen kilang tanpa kebenaran hanya boleh dibuat di kaunter majlis,” katanya.

Bercakap ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan pihak berkuasa tempatan itu semalam, beliau berkata kaunter tambahan turut dibuka di beberapa kompleks beli-belah dan pasar raya.

Menurutnya, kaunter tambahan yang beroperasi pada Sabtu dan Ahad sepanjang Oktober mulai 10.30 pagi hingga 5 petang bagi memudahkan orang awam memperbaharui lesen selain waktu pejabat.

“Perkhidmatan kaunter tambahan bertujuan memudahkan peniaga dan pihak berkaitan yang tidak dapat datang ke MPK pada waktu pejabat. Mereka boleh ambil peluang hujung minggu hadir ke kaunter tambahan.

“Saya menyeru peniaga mengelak daripada membuat pembaharuan lesen pada saat-saat akhir,” katanya lagi.

Berikut lokasi kaunter tambahan:

  • Aeon Bandar Baru Klang (1 dan 2 Oktober)
  • Aeon Bukit Tinggi (8 dan 9 Oktober)
  • GM Klang Wholesale City (15 dan 16 Oktober)
  • Giant Hypermarket Klang, Bukit Tinggi (22 dan 23 Oktober)
  • Lotus’s Store, Bukit Tinggi (23 dan 30 Oktober)

Pengarang :