AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor naik taraf aset, berjaya kurangkan indeks paip pecah

SHAH ALAM, 20 SEPT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya mengurangkan indeks paip pecah (PBI) dari 9.61 pada 2019 kepada 6.37 tahun lalu.

Menurut agensi itu dalam video di Facebook, usaha bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dibuat berdasarkan kes paip pecah bagi setiap 100 kilometer.

“Air Selangor bekerjasama dengan badan pengawal selia industri perkhidmatan air negara dalam kerja-kerja penaikan taraf dan penyenggaraan aset sistem bekalan air.

“Kerja-kerja ini dilaksanakan secara berjadual bagi memastikan sistem bekalan air berada pada tahap optimum serta meningkatkan kecekapan operasi kami dalam menyalurkan air terawat yang bersih dan selamat kepada 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Air Selangor berkata pihaknya juga membangunkan aset baharu seperti Skim Bekalan Air Rasau dalam meningkatkan margin rizab air bagi memenuhi permintaan pengguna pada masa akan datang.

Pada 30 Jun, syarikat itu memaklumkan peruntukan perbelanjaan modal (Capex) bernilai RM1.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Menurut ketua pegawai eksekutifnya, paras Capex yang meningkat 240 peratus atau hampir empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya sejajar pelaksanaan Skim Bekalan Air Rasau fasa satu.

“Tahun sebelumnya (2020), sebahagian besar Capex digunakan untuk meningkatkan aset,” kata Suhaimi Kamaralzaman ketika membentangkan laporan kelestarian Air Selangor 2021 di Bangsar.


Pengarang :