Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar melancarkan Buku Tunku Kelana Penuh Cinta sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree (kiri) sempena Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PERSONALITIRENCANA

‘Tunku: Kelana Penuh Cinta’ kupas siapa sebenar Tunku Abdul Rahman

Oleh JOHAN JAAFFAR

Saya berusia empat tahun sewaktu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj melaungkan teriakan “Merdeka” sebanyak tujuh kali di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Saya berusia 37 tahun ketika beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 6 Disember 1990. Almarhum berusia 87 tahun ketika itu.

Saya masih di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semasa wafatnya, memimpin majalah-majalah terbitan agensi tersebut, di antaranya Dewan Masyarakat. Melalui hubungan saya dengan teman-teman wartawan di media arus perdana pada masa itu, saya dapat mengenali Almarhum dengan lebih rapat.

Ada kalanya kami menemui beliau dan berkesempatan berbual panjang tentang isu-isu semasa. Lebih-lebih lagi tentang pandangan jujur beliau terhadap politik dan pimpinan politik semasa.

Beliau tidak lagi bersama Umno pada masa itu. Seperti juga pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar, Tunku tidak bersama Umno pada akhir hayatnya.

Sebagai bekas pelajar yang terbentuk pada era kebangkitan dan aktivisme pelajar tahun-tahun 70-an di Universiti Malaya, saya tentunya mempunyai pandangan yang tersendiri terhadap Almarhum. Persepsi
saya dicorakkan oleh peristiwa-peristiwa yang saya sendiri hanya mendengar dan membacanya dari sumber-sumber yang belum tentu sahih. Seperti banyak orang lain pandangan saya dikelabui oleh naratif tentang beliau sebelum, semasa dan sesudah Peristiwa Berdarah Mei 1969. Pandangan itu selalunya negatif.

Tentu tidak menghairankan saya mengukur beliau dari persepsi tentang keterbukaannya, sikap “tidak apa” yang dikaitkan dengannya, tuduhan tentang pendirian pro-Cina dan macam-macam lagi yang dilakarkan tentang beliau ketika itu. Naratif sedemikian memberikan imej negatif terhadap seorang negarawan ulung, seorang patriot sebenar dan seorang pembangun dan pembina. Mungkin memang ada usaha terancang untuk mencacatkan nama baik beliau oleh pihak-pihak tertentu. Secara jujur beliau bukan sempurna, beliau banyak kelemahan. Beliau membuat beberapa kesilapan sewaktu pentadbirannya.

Dalam beberapa siri pertemuan dengan beliau saya mulai membina pandangan saya sendiri tentang beliau. Dengan nada bersahaja, adakalanya penuh wit dan humour tetapi tebal dengan sinisisme dan sindirian, beliau memberikan kami naratif yang berbeza, dari perspektif beliau sendiri tentang apa yang sebenarnya berlaku sewaktu beliau menjadi teraju.

Tanggapan inilah yang membuatkan saya menyenangi buku ini, buku asalnya T”unku: An Odyssey of A Life Well- Lived and Well-Loved”. Buku yang diterjemahkan sebagai “Tunku: Kelana Penuh Cinta”. Versi bahasa Melayu ini diterjemahkan oleh Mardiyyah Abadan dan diterbitkan oleh IBDE Ilham Sdn Bhd.

Buku ‘Tunku: Kelana Penuh Cinta’ diterbitkan IBDE Ilham Sdn Bhd. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menangguk di air keruh

Semua orang mengenal Tunku tetapi tidak banyak yang mengetahui siapa sebenarnya Tunku. Beliau dijajakan sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Perpaduan. Tetapi beliau lebih daripada semua label itu. Beliau meletakkan asas pada pembinaan sebuah negara bangsa bernama Malaya dan kemudian Malaysia, tidak dapat kita nafikan. Saya percaya beliau akan diadili oleh sejarah kerana sumbangan besar beliau pada negara. Memimpin sebuah negara dengan diversity dan keanekaragaman rakyatnya bukan mudah. Malaya yang merdeka harus melalui proses pengisian yang jauh lebih sukar – mengambilkira kepelbagaian tuntutan dan permintaan rakyat pelbagai kaum, agama dan adat resam.

Sememangnya kepelbagaian itu satu kekuatan (diversity is strength) tetapi dalam masyarakat yang plural sifatnya, ia juga boleh menjadi alasan perpecahan dan berantakan.

Tidak mungkin Almarhum dapat memenuhi semua tuntutan itu. Maka itu beliau banyak melakukan akomodasi dan penyesuaian. Beliau harus bertoleransi dan bertolak ansur. Mungkin itu juga tidak memadai, maka Almarhum tidak dapat memuaskan hati orang Melayu, apa lagi hati orang bukan Melayu.

Pada saat-saat sukar itulah ada yang menangguk di air keruh, mengambil kesempatan dari keresahan semua kaum untuk menyemarakkan sentimen perkauman. Kita tahu apa yang berlaku pada 13 Mei 1969, 12 tahun selepas Malaya memperoleh kemerdekaan.

Kita tahu tentang cerita penderhakaan, pengkhianatan, hipokrasi dan perancangan jelik. Almarhum sedar beliau adalah mangsa satu skema politik yang licin lagi memualkan. Beliau berhak menjadi getir. Politik penuh dengan Brutus, di sekelilingnya banyak Si Kitul dan Raja Mudaliar.

Saya percaya sejarah akan menilai semula Almarhum sekiranya rentetan sebenar peristiwa yang memungkinkan tragedi itu diteliti secara saksama. Saya yakin, buku ini akan membantu ke arah itu.

Saya percaya juga calar sejarah yang dikaitkan dengan Almarhum ekoran dari peristiwa pertumpahan darah antara kaum itu akan sedikit sebanyak terhakis. Ini bukan revisionist history in a making. Tapi sekadar
usaha memberikan kejernihan baharu peristiwa yang menjadi titik hitam dalam sejarah negara kita.

Almarhum hidup 20 tahun lagi selepas beliau meninggalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Beliau tidak tinggal diam. Beliau adalah conscience negaranya. Beliau menulis dalam akhbar The Star dalam ruangan “Looking Back” dan kemudian “As I See It”. secara jujur, berani, keras, tanpa kompromi. Itulah Tunku yang sebenarnya.

Tidak punyai satu sen pun

Saya teringat tulisan beliau, “people can say anything about me but none will ever accuse me of having been a hypocrite.” Tidak ada siapa yang boleh menafikan hal itu.

Apapun pandangan kita tentang Almarhum, kita tahu bahawa beliau seorang yang punya integriti yang tinggi. Buku ini ada merakamkan juga apa yang berlaku pada Almarhum selepas bersara. Saya petik:

“Perkara yang paling membezakan beliau dengan rakan-rakannya yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri ialah Tunku satusatunya Perdana Menteri yang menjadi lebih miskin selepas beliau meninggalkan jawatan tertinggi itu berbanding sebelum beliau melangkah masuk dan mengemudi negara. Lebih buruk lagi, sebaik sahaja bersara, Tunku mendapati dirinya mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM80,000 – jumlah yang sangat besar pada zaman dahulu. Sebagai ganti, wang persaraan bulanannya sebanyak RM4,000 digantung dan digunakan untuk melunaskan hutang akibat kealpaannya itu. Dengan kiraan mudah, Tunku tidak mempunyai satu sen pun.”

Soalan saya, mungkinkah akan ada Perdana Menteri “semiskin” ini dalam negara kita selepas itu?

Dalam salah satu pertemuan dengan beliau, saya bangkitkan satu peristiwa di mana kereta Chrysler lama beliau rosak sewaktu dalam perjalanan bersama keluarga bercuti ke Fraser’s Hill. Imej beliau berdiri memerhatikan pembantunya memperbaiki kereta tersiar dalam akhbar pada 3 Mei 1964.

Saya tanyakan beliau, apa dalam fikirannya ketika itu. “Kereta buruk itu tak pernah bagi aku masalah sebelum ini.”

Itulah Almarhum dengan segala kesederhanaan dan humility-nya. Saya amat bangga buku ini dapat
diterjemahkan dengan baik dan diterbitkan untuk pembaca bahasa Melayu. Saya memang mengagumi tulisan Kobkua Suwannathat-Pian (kanan dalam foto) dalam bahasa Inggeris. Buku ini amat perinci, ditulis secara tuntas untuk memberikan satu perkisahan lain pada Si Teruna bernama Tunku Abdul Rahman.

Sebagai sejarahwan, penulis berlaku adil pada subjeknya. Lebih penting lagi beliau memberikan dimensi yang baharu pada beberapa peristiwa penting yang membabitkan Almarhum, di luar kerangka naratif lumrah yang kita ikuti selama ini.

Buku ini terdiri dari tiga bahagian dan sembilan bab. Ia menyentuh latar belakang kehidupannya, juga pembabitannya dalam politik, memimpin Umno, juga tentang kekecewaan dan pengalaman menjadi “warga
biasa yang luar biasa.” Juga kisah awal pengisian kemerdekaan dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963 serta keluarnya Singapura dari Malaysia.

Bagi saya buku ini patut dijadikan bacaan wajib untuk semua rakyat Malaysia, khususnya golongan muda untuk lebih memahami Almarhum yang sebenar. Lebih penting lagi untuk menilai sendiri siapa sebenarnya
Almarhum, secara dekat dan berlapang dada.

Ini kisah negarawan ulung yang meletakkan khidmat dan dedikasinya pada negara di atas segala-galanya.

From my perspective, this is the best book ever written about our greatest statesman to date.

Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar menyampaikan ucapan ini ketika majlis pelancaran buku Tunku: Kelana Penuh Cinta di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022


Pengarang :