Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membuat penggulungan ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 2 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Sultan perkenan pentadbiran negeri terus jaga kesejahteraan rakyat

SHAH ALAM, 11 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mengambil maklum hasrat pentadbiran negeri untuk meneruskan khidmatnya bagi menjaga kesejahteraan rakyat.**

Dato’ Menteri Besar berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat.

“Pagi ini saya menghadap DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam dalam sesi menghadap berjadual.

“Saya menyembah maklum komitmen dan persiapan Kerajaan Negeri dalam mendepani kemungkinan situasi banjir di Selangor, usaha pemulihan ekonomi, bantuan kebajikan, serta persiapan Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor pada tahun ini.

“DYMM tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pada 5 Oktober, Majlis Presiden  Pakatan Harapan (HARAPAN) memutuskan tiga negeri tadbirannya iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubar DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.

* *Nota editor: Laporan sebelum ini yang menyebut isu pembubaran DUN tidak berbangkit sama sekali. Perenggan pertama berita ini sudah dikemas kini bagi menunjukkan maksud tersebut. Kekeliruan ini amat-amatlah dikesali.


Pengarang :