Penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) menjimatkan masa pengguna yang tidak perlu lagi membeli kupon bergores mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor negeri pertama laksana parkir digital, rekod 2.2 juta pengguna

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Seramai 2.2 juta pengguna direkod menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) setakat ini sejak diperkenal pada Julai 2018.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem tempat letak kereta pintar memudahkan pengguna membayar parkir dan saman melibatkan 10 pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pada 1 April 2022, Selangor menjadi negeri pertama di negara ini melaksanakan sistem bayaran parkir digital bagi menggantikan kupon bergores,” katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau berucap dalam majlis pelancaran Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022.

Dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), semua pembayaran menggunakan e-kupon menerusi SSP lebih mudah, cepat dan selamat.

Pengguna hanya perlu mengisi nombor pendaftaran kereta dan bayaran dibuat berdasarkan tempoh meletak kenderaan.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan di bawah Pelan Tindakan Smart Selangor 2025, Kerajaan Negeri turut membangunkan aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat bagi semua perkhidmatan berbayar kerajaan di pelbagai peringkat.

“Aplikasi ini dimulakan dengan tiga PBT pada 2019 membabitkan lapan perkhidmatan dan sekarang digunakan sembilan PBT meliputi 62 perkhidmatan serta tujuh kaedah bayaran.

“Kita menjangkakan kesemua 12 PBT menggunakan aplikasi ini pada suku kedua tahun depan,” katanya lagi.

Aplikasi yang diperkenal pada Ogos 2019 menawarkan kemudahan permohonan lesen, bayaran cukai taksiran, kompaun, parkir dan bayaran bil utiliti.

Seperti SSP, CEPat boleh dimuat turun melalui PlayStore bagi pengguna Android dan AppStore bagi iOS.


Pengarang :