Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Peluncuran Tawaran HARAPAN di Hotel Wyndham Acmar Klang pada 2 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Atasi kos sara hidup, perangi rasuah, tingkat ekonomi belia antara 10 Tawaran HARAPAN

KLANG, 2 NOV: Tangani kos sara hidup dan perangi rasuah antara 10 tawaran Pakatan Harapan (HARAPAN) jika menang pilihan raya umum ke-15.

Diumum Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim, aspek lain diberi keutamaan ialah peluang kerja, pendidikan, ekonomi dan kesihatan bagi mengatasi kepincangan dasar pemerintah sebelum ini.

“HARAPAN bertekad membina semula Malaysia daripada kemusnahan Barisan Nasional – Perikatan Nasional dalam lebih 30 bulan lepas.

“Dasar-dasar yang digariskan Tawaran HARAPAN boleh melonjakkan Malaysia jauh ke depan,” katanya ketika melancarkan Tawaran HARAPAN di sini hari ini.

Berikut intipati ringkas 10 Tawaran HARAPAN:

Tangani isu kos sara hidup

– hapuskan kartel, pastikan bekalan bahan mentah cukup selain tingkat tenaga kerja sektor tani demi pastikan jaminan bekalan makanan

Perangi rasuah dan perkukuh institusi demokrasi

– wujudkan pentadbiran bersih dengan kukuhkan integriti institusi dan kedaulatan parlimen selain menjamin kebebasan media serta hak bersuara orang ramai

Perkasa peluang ekonomi belia

– jana peluang kerjaya baru buat anak muda merangkumi usaha tingkat penyertaan bidang pertanian moden selain sektor penjagaan, seni kreatif dan e-sukan

Selamatkan generasi tercicir pendidikan

– rapat jurang pembelajaran, tingkatkan kualiti pendidikan dan bina peluang masa depan untuk semua anak Malaysia

Bina ketahanan bencana, mantapkan perlindungan

– Tambah baik bantuan mangsa berdasarkan nilai kerugian hingga maksimum RM50,000 untuk setiap rumah

Tangani isu doktor kontrak, jamin kebajikan penjawat kesihatan

– bangunkan kepakaran tempatan termasuk tangani isu pekerja kontrak kesihatan bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan awam

Hapuskan isu ketaksamaan gender, perkasa sosioekonomi wanita

– tamatkan ketaksamaan gender seterusnya memperkasa sosioekonomi wanita supaya potensi mereka diperkembang

Perkasa Sabah dan Sarawak

– isu pemulangan hasil, pembangunan ekonomi serta 35 peratus kerusi parlimen Sabah dan Sarawak diberi keutamaan

Tingkat daya saing rakyat

– Pastikan tiada rakyat termasuk golongan rentan dan OKU tercicir dalam menikmati kemakmuran negara

Pelihara khazanah alam

– perkenal akta perubahan iklim, pemindahan fiskal ekologi, kawasan perlindungan marin dan akta jerebu rentas sempadan demi memelihara khazanah alam

Dokumen penuh Tawaran HARAPAN boleh dibaca menerusi laman kitaboleh.my

Timbalan Pengerusi HARAPAN Anthony Loke, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara pemimpin yang hadir majlis tersebut.


Pengarang :