Gandingan Pearly Tan-M Thinaah menjuarai saingan Terbuka Perancis selepas menewaskan pasangan Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara menerusi kemenangan 21-19, 18-21, 21-15 pada aksi di Stade Pierre de Coubertin, Paris pada 30 Oktober 2022. Foto Facebook BAM
AGENDA SUKANKINI

Badminton: Enam beregu negara layak ke saingan akhir jelajah dunia

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Enam beregu negara akan beraksi di Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berlangsung di Bangkok, Thailand pada 7 hingga 11 Dis ini.

Mereka adalah dua beregu lelaki iaitu juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan naib juara Terbuka Australia Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, diikuti juara beregu wanita di Terbuka Perancis Pearly Tan-M.Thinaah.

Turut layak, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan dua beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menjawab persoalan mengenai wakil negara layak ke Jelajah Dunia Akhir di Nimibutr Arena.

Kesemua gandingan negara yang layak beraksi adalah antara lapan terbaik kecuali Aaron-Wooi Yik yang layak ke Bangkok di bawah kuota sebagai juara dunia walaupun menduduki tempat kesembilan ranking beregu lelaki dengan 54,040 mata.

Yew Sin-Ee Yi yang juga beregu profesional negara, pada kedudukan ketiga dengan 66,380 mata manakala Pearly-Thinaah pula mengumpul 56,290 mata di belakang Vivian-Chiew Sien yang menduduki ranking ketujuh dengan 57,110 mata.

Soo Huat-Shevon pula keempat terbaik dengan 63,010 mata diikuti Kian Meng-Pei Jing dengan 57,430 mata.

Sementara itu, tiada pemain perseorangan negara termasuk pemain profesional lelaki Lee Zii Jia yang menamatkan musim ini di kedudukan kesembilan dengan 57,680 mata.

Sebanyak 24 kejohanan kelayakan berlangsung di seluruh dunia termasuk 19 Jelajah Dunia BWF, sebelum kejohanan akhir musim di Bangkok.

— BERNAMA

 


Pengarang :