Orang ramai mengunjungi gerai jualan kraf yang diusahakan Nur Fatin Hakimah Zainal, 26, sempena Pasar Seni Genta di perkarangan Laman Budaya Tasik Shah Alam pada 26 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Festival kraf di Galeri Shah Alam mulai esok, sasar 5,000 pengunjung

SHAH ALAM, 21 NOV: Festival Reka Bentuk dan Kraf (TUKANG) anjuran Tourism Selangor yang dijadual bermula esok hingga 27 November dijangka menarik 5,000 pengunjung dalam dan luar negara.

Agensi promosi pelancongan negeri berkata festival julung kali dengan kerjasama Rantai Art di Galeri Shah Alam di sini, menawarkan pelbagai aktiviti dan program pendidikan.

Menurutnya, program meliputi pameran inovatif, bengkel seni, ceramah reka bentuk, bazar seni pop up dan kraf, persembahan kumpulan seni tempatan dan muzik indie serta pameran ‘pitching’ pelancongan Selangor.

“Festival ini menyerlahkan pereka dan artis inovatif melalui anugerah geran awam RM 10,000 yang diberi kepada enam pemenang reka bentuk dengan tempoh tiga bulan untuk mereka menyiapkan projek,” katanya dalam kenyataan.

Projek kraftangan ialah A Piece of Kampung oleh Leon Leong dan Hani Ali, Tepak Ulam (Warenakita), Re: Vision (Gwyneth Jong) dan Maisarah Lubis, ‘Mok’ Pod (Gharib+Batiktektura), Sustainable Innovation Batik Alternative Tool (Ecovs) serta T.I.K.A.R. (Inside RG).

Agensi menambah pihaknya sentiasa inovatif dalam mempromosikan tarikan pelancong yang berpotensi bagi merealisasikan misi Selangor sebagai hab industri kreatif.

“Ini selaras kempen pelancongan domestik Selangor, Pusing Selangor Dulu!. Idea inovatif bakat kreatif ini boleh digunakan dalam pembangunan produk terdiri daripada industri fesyen, perabot dan makanan.

“Orang ramai dijemput hadir untuk berinteraksi dengan pereka dan artis kraf sepanjang festival berlangsung,” katanya.

Butiran lanjut boleh lawati Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok Tourism Selangor.


Pengarang :