Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gaji penjawat awam esok, mudahkan perjalanan untuk buang undi

SHAH ALAM, 16 NOV: Penjawat awam di Selangor akan menerima gaji lebih awal esok bagi memudahkan perjalanan mereka ke tempat mengundi, umum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembayaran awal dibuat bagi menggalakkan mereka membuang undi bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini.

“Untuk mempermudahkan urusan para pengundi yang akan memulakan perjalanan mengambil bahagian dalam PRU15 ini, Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengawalkan pembayaran gaji penjawat awam Selangor kepada 17 November,” katanya di Facebook.

Tambah beliau, pembayaran awal itu dibuat susulan pengumuman Kerajaan Negeri yang mengisytiharkan cuti sehari sebelum hari mengundi pada Khamis lalu.

Amirudin berkata pemberian cuti pada 18 November bagi memudahkan pemilih di luar Selangor pulang ke kampung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan 18 dan 19 November sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan pengundi memilih wakil rakyat kawasan masing-masing.


Pengarang :