Geotaman Gombak-Hulu Langat merangkumi 20 geotapak dikenal pasti berpotensi dan mempunyai kepentingan geologi adalah aset sangat bernilai untuk Selangor dan negara. Foto Facebook GOMBAK-HULU LANGAT GEOPARK
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gombak-Hulu Langat dan Stong Geopark diiktiraf Geopark Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Kawasan Gombak-Hulu Langat Geopark dan Stong Geopark diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan di bawah Program Pembangunan Geopark.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu dibuat pada Isnin lalu semasa Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 2 Tahun 2022.

Menurut KeTSA, pengiktirafan itu merupakan satu lagi pencapaian buat negara khususnya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam memelihara kelestarian alam semula jadi serta pengurusan mampan kawasan berkepentingan yang memiliki nilai geotapak luar biasa.

“Kementerian yakin kerjasama erat dapat memastikan Geopark diurus dengan baik dan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama di kawasan yang mempunyai kepentingan geologi bagi tujuan penyelidikan saintifik, pendidikan, penjanaan ekonomi penduduk setempat dan pembangunan mampan,’’ menurut kenyataan itu.

KeTSA turut memaklumkan usaha itu seiring dengan Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Gombak-Hulu Langat Geopark berkeluasan 1,129.55 kilometer persegi dan kaya dengan geotapak pelbagai taraf selain kewujudan kuarza terpanjang di Asia Tenggara, landskap pergunungan serta pembentukan beberapa lembangan daratan.

Stong Geopark pula berkeluasan 2,131.99km persegi dan memiliki kepelbagaian geologi (25 geotapak), kepelbagaian biologi (7 biotapak) serta budaya tempatan (16 tapak budaya) selain penemuan beberapa artifak berupa cengkerang dan tembikar berusia 1,000 hingga 5,000 tahun.

Pengiktirafan Geopark Kebangsaan itu adalah yang ketujuh serta kelapan selepas Lembah Kinta dan Lenggong Geopark di Perak, Jerai Geopark di Kedah, Kinabalu Geopark di Sabah, Labuan Geopark di Labuan dan Sarawak Delta Geopark di Sarawak.

– BERNAMA


Pengarang :