Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sijangkang di Taman Seri Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 30 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Laluan khas jualan murah di Sijangkang permudah urusan warga emas, OKU

KUALA LANGAT, 30 NOV: Laluan khas untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung memudahkan golongan itu membeli barangan dalam Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang.

Pengurus Pejabat Penyelaras DUN Hairul Nizam Kohar berkata inisiatif berkenaan telah diperkenalkan sejak bermula September lalu.

“Kita membantu memudahkan orang ramai dalam urusan pembelian supaya semua dapat menikmati manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

“Pada hari ini, orang ramai menyerbu lokasi jualan murah kerana kawasan ini merupakan antara tumpuan awam kerana ia tapak pasar malam,” katanya ditemui pada program JER di parkir Taman Perwira di sini hari ini.

Hairul Nizam Kohar. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, beliau memaklumkan seramai 10 kakitangan pejabat penyelaras hadir di setiap lokasi jualan bagi membantu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Mereka diturunkan di semua kawasan supaya dapat membantu melancarkan program kerana PKPS tidak mempunyai kakitangan mencukupi,” ujarnya.

Program jualan murah merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek).

Dikendalikan PKPS, jualan barangan asas turut membawa minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10) menjelajah ke sembilan lokasi setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 1 petang.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan yang dijadual sehingga Mac tahun depan.


Pengarang :