Pemain OSV Ampang Soe Zhao Hoe (kiri) mengatasi pemain Kajang Bujangga dalam perlawanan ketiga Selangor Champions League (SCL) di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 30 Oktober. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor
AGENDASUKANKINI

NPNG Damansara, Najmi SFFC rampas takhta kumpulan Liga Selangor

SHAH ALAM, 1 NOV: Gamestop Alam Megah gagal mempertahankan kedudukan selaku pendahulu kumpulan A selepas tewas 0-1 kepada NPNG Damansara Perdana dalam perlawanan ketiga Selangor Champions League (SCL) 2022 pada 29 Oktober.

Beraksi di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), jaringan sendiri Rahimi Rahim pada minit ke-49 meleburkan hasrat pasukannya untuk melebarkan jurang rekod tanpa kalah di puncak liga selepas permulaan baik dua perlawanan awal.

Kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya MBPJ FC yang menewaskan Sijangkang City hasil jaringan tunggal Ashraf Nasir pada minit ke-67 untuk melonjak ke tangga kedua. Kru Port Klang ketiga selepas tiga perlawanan apabila mudah menewaskan Belia Selangor 2-0 menerusi gol Faiz Ismail dan Khairul Naim.

Pemain Sijangkang City Hafizi Halim (kanan) berjaya melepasi kawalan pemain MBPJ FC ketika membantu pasukannya menang 1-0 di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 29 Oktober. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor

Dalam satu lagi perlawanan, dua gol Hazmizan Hamzah dan Soe Zhao Hoe menambah derita Kajang Bujangga yang terperosok di dasar liga selepas tewas 0-3 kepada OSV Ampang.

Sementara itu, Najmi SFFC KD melonjak ke tangga teratas kumpulan B dengan kelebihan jaringan selepas terikat tujuh mata bersama MPKj FC dan Kelana United.

MPKj FC yang seri tanpa jaringan menentang Bandar Putera 2 terpaksa melepaskan kedudukan pendahulu pada perlawanan ketiga selepas Najmi SFFC KD mudah menewaskan Rawang Mozyda FC 3-1 pada 30 Oktober.

Dua gol Lukman Hakim dan satu Ahmad Azlan mematikan hasrat Rawang Mozyda yang cuba meraih sekurang-kurangnya satu mata hasil jaringan lewat Nur Rizzham.

Jaringan tunggal bekas penyerang kebangsaan Fakri Saarani pada minit ke-45 membolehkan Kelana United menewaskan MP Sepang FC 1-0. Keputusan sama turut dicatat Ingress KL FC yang mengatasi Nossa Bukit Jelutong menerusi gol Efendi Adnan pada minit ke-43.


Pengarang :