Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang di Surau Al-Azim pada 1 November 2022. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk puas hati program jualan murah tawar barangan asas berkualiti

Oleh SHAMZ JOHAN

HULU KELANG, 2 NOV: Orang ramai berpuas hati dengan kualiti barangan harian dalam Jelajah Ehsan Rakyat sungguhpun dijual pada harga murah.

Pekerja swasta Muhammad Hafizzuddin Razian, 31, berkata barangan tersebut seperti ayam yang dijual bersaiz besar dan bersesuaian dengan kehendak pengguna.

“Kita tengok barang keperluan ditawarkan berkualiti macam ayam, daging dan minyak masak. Saiz seekor ayam dengan berat hampir 2 kilogram (kg) dijual dengan harga RM10 sahaja.

Muhammad Hafizzuddin Razian. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Inisiatif ini sangat bagus dan patut diteruskan setiap hari, bukan secara berkala,” katanya ketika ditemui dalam program jualan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini semalam.

Seorang lagi pengunjung Ku Sanisah Ku Saad, 52, daripada Taman Keramat berkata dengan program jualan itu beliau dan keluarga dapat menjimatkan perbelanjaan dapur.

“Banyak boleh jimat, harga beza jauh berbanding pasar atau kedai runcit. Kalau boleh (program) diteruskan kerana ramai yang terkesan sekarang, jadi dapat mengurangkan perbelanjaan,” katanya.

Menurut Jurutera Elektrik Muhd Ammar Afif Zainal, 32, langkah Kerajaan Negeri menganjurkan program sebegitu amat bagus bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Hajar Sulaiman. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Sekarang perbelanjaan harian tinggi, jadi dengan program ini kita ada pilihan untuk mendapatkan barang keperluan dengan harga lebih murah,” katanya.

Seorang suri rumah Hajar Sulaiman, 56, dari Sinaran Ukay, Bukit Antarabangsa pula sanggup ‘berjalan jauh’ bagi mendapatkan barangan dapur diperlukan.

“Saya datang kerana terlepas program sebelumnya. Memang ia memberi manfaat kepada ramai pengguna yang dapat berjimat dan mengurangkan perbelanjaan isi rumah masing-masing,” katanya.

PKPS mengadakan program jualan menggunakan lori dengan barangan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :