Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa bertemu penduduk rumah transit Kampung Sungai Kertas, Gombak pada 1 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Rumah transit Sungai Kertas dibangun semula, penempatan lebih selesa

GOMBAK, 1 NOV: Kerajaan Negeri bercadang membangunkan semula rumah transit Sungai Kertas di sini, bagi mewujudkan penempatan lebih teratur dan selesa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut sedang diteliti termasuk berbincang bersama pihak terlibat antaranya pemilik tanah iaitu Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Asalnya perumahan ini merupakan rumah transit untuk peneroka bandar yang terpaksa dipindahkan kerana tinggal di rizab sungai atau tanah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Mereka sepatutnya menetap dalam tempoh dua tahun sahaja namun beberapa isu timbul menyebabkan 130 keluarga terpaksa menetap lebih 20 tahun.

“Kebanyakan mereka dari Hulu Klang yang dipindahkan sementara sebelum rumah disiapkan. Ada  sebahagiannya terpaksa kekal tinggal di sini disebabkan rumah mereka tidak siap,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk Rumah Transit Kampung Sungai Kertas di sini, hari ini.

Amirudin berkata sebagai langkah awal pembangunan semula rumah transit Sungai Kertas, pihaknya akan menyediakan rumah di Gombak Permai untuk penduduk berpindah sementara waktu.

“Ini adalah salah satu perancangan kita, rumah kos rendah di Gombak Permai sedang dibina dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) telah membelinya.

“Jadi Kerajaan Negeri boleh berunding dengan (LPHS) untuk pindahkan penduduk sementara membangunkan kawasan ini. Penduduk juga diberi pilihan sama ada mahu membeli rumah di situ (Gombak Permai) atau berpindah semula di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Rumah Transit Kampung Sungai Kertas Haslinda Daud berkata pihaknya menyambut baik cadangan tersebut selagi ia tidak membebankan penduduk.

“Kalau boleh kami mahu tinggal di sini tapi Dato’ Menteri Besar kata (rumah sekarang) tidak kondusif untuk diduduki jadi perkara tersebut akan dibincangkan untuk kemudahan penduduk.

“Harap penduduk dapat terima cadangan itu dengan hati terbuka dan berharap ia tidak membebankan kerana mereka yang tinggal di sini adalah golongan B40,” katanya.


Pengarang :