Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Prihatin Rakyat DUN Kota Damansara di Dewan Serbaguna MBPJ, Petaling Jaya pada 4 September 2022.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peniaga sokong usaha HARAPAN tangani kos sara hidup

HULU LANGAT, 9 NOV: Golongan peniaga di sini menyokong usaha Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dilihat bersungguh menangani isu kos sara hidup seperti yang terkandung dalam manifesto gabungan itu.

Pengusaha kedai makan di Saujana Impian Nor Fadly Ab Rahman, 45, berkata kehidupan rakyat terjejas teruk ketika ini dan berharap kerajaan baharu yang terbentuk selepas pilihan raya ini dapat mengatasinya.

“Kalau betul Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi HARAPAN) mahu kurangkan kos sara hidup, memang sokong. (kos sara hidup) Naik sangat mendadak lepas perintah kawalan pergerakan,” katanya yang juga pengundi Parlimen Bangi.

“Harga ayam, telur, rempah kari semua naik. Kalau harga sudah naik mesti susah nak turun.”

Pengusaha kek dan kuih Wan Ruehaya Wan Mustapha, 45, berharap HARAPAN membuktikan tekad mereka untuk menangani kos sara hidup sekiranya menerajui Putrajaya.

“Seronok sangat-sangat kalau betul tawaran (HARAPAN) yang dijanji jadi kisah benar. Sebab barang mentah untuk buat kuih muih naik  teruk sangat.

“Jadi saya harapkan janji atau benda yang ditawarkan jadi realiti. Kalau boleh turunkan segera harga,” katanya yang akan mengundi di Parlimen Machang, Kelantan.

Sementara itu, peniaga kepak ayam madu, Mohamed Jabar Samsudin, 50, berharap pemimpin yang terpilih dalam pilihan raya kali ini tekad mengutamakan kebajikan rakyat.

“Apapun dahulukan rakyat, jika ada masalah tolonglah betul-betul. Jangan rakyat susah teruk baru nak tolong. Kalau mereka masih hidup, bantulah.

“Pemikiran pemimpin ini kena sama sahaja iaitu tolong rakyat, termasuk kurangkan kos hidup,” katanya yang akan mengundi di Parlimen Klang.

Pada 2 November, HARAPAN menyenaraikan 10 tawaran dalam manifesto mereka untuk dilaksanakan sekiranya diberi mandat mentadbir negara dalam pilihan raya umum ke-15.

Satu daripada intipati tawaran gabungan itu menghapuskan kartel dalam sektor makanan bagi menggalak persaingan dan membasmi kaut untung melampau.

Butiran lanjut azam gabungan tersebut boleh diakses menerusi pautan https://kitaboleh.my/

Sewaktu HARAPAN menerajui Putrajaya pada 2018, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution berjaya mengawal harga barangan asas terutamanya ketika musim perayaan.

Bagaimanapun selepas gabungan itu ditumbangkan, harga barangan meningkat beransur-ansur dampak inflasi harga makanan enam peratus selain isu kekurangan bekalan makanan.


Pengarang :