AGENDANASIONAL

Perangsang Selangor catat hasil suku ketiga lebih kukuh, umum dividen 6.5 sen

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Perolehan hasil Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor) bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September, 2022 meningkat kepada RM382.77 juta daripada RM360.10 juta bagi suku sama setahun lepas.

Keuntungan bersih bagi suku di bawah kajian itu bagaimanapun susut kepada RM14.02 juta daripada RM25.65 juta bagi suku sama pada 2021, kata syarikat pegangan pelaburan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut Perangsang Selangor, langkah pengambilalihan Lebuhraya SPRINT telah dimuktamadkan pada 13 Oktober, 2022 yang membolehkan syarikat itu menerima sejumlah RM172.6 juta bagi 20 peratus pegangannya dalam usaha berkenaan.

“Berikutan itu, Lembaga Pengarah telah mengumumkan dividen khas 4.5 sen untuk seunit saham biasa selain dividen interim 2.0 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2022, yang melibatkan jumlah dividen sebanyak 6.5 sen bagi sesaham biasa.

“Tarikh bagi kelayakan serta pembayaran dividen itu adalah masing-masing pada 12 Disember, 2022 dan 30 Disember, 2022,” katanya.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Fariz Hassan berkata Perangsang Selangor komited untuk terus memastikan kelancaran perjalanan syarikat, sejajar dengan cabaran makroekonomi semasa yang menjejaskan keseluruhan sentimen perniagaan seperti kebimbangan mengenai berlakunya kemelesetan, krisis tenaga dan kenaikan rejim kadar faedah.

“Bagi penggal terdekat ini, semua usaha-usaha terbabit turut melibatkan usaha mengekang peningkatan kos operasi serta memperkasa sumber dan operasi kami.

“Strategi kami bagi jangka pertengahan ini adalah mengenal pasti peluang untuk pengambilalihan yang mendorong perolehan bagi melengkapkan lagi perniagaan pengeluaran yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Perangsang Selangor berkata, cabang perniagaan pengeluaran mencatatkan hasil tahun ke tahun yang meningkat kepada RM323.1 juta daripada RM319.0 juta dalam suku sama tahun lepas susulan permintaan produk tertentu yang reda serta kekurangan cip elektronik.

“(Segmen) perniagaan pengeluaran merangkumi Toyoplas Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd, Century Bond Bhd, CPI (Penang) Sdn Bhd, King Koil Manufacturing West LLC dan King Koil Sales Inc, menyumbang sebanyak 84 peratus kepada hasil kumpulan,” katanya.

Perniagaan perdagangan pula meningkat 42 peratus bagi tahun ke tahun dengan jumlah hasil mencecah RM43.3 juta bagi suku di bawah kajian berbanding RM30.5 juta dalam suku sama sebelum ini.

“Kenaikan hasil itu disokong oleh kontrak kimia dan meter air baharu Aqua-Flo Sdn Bhd daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd,” katanya.

Selain itu, perniagaan pelesenan juga mencatat peningkatan pendapatan tahun ke tahun pada RM9.8 juta berbanding RM8.6 juta pada suku sama tahun lepas, dipacu oleh peningkatan hasil daripada pemegang lesen antarabangsa.

Perangsang Selangor berkata, hasil perniagaan pelesenan tahun ke tahun turut menokok kepada RM9.8 juta berbanding RM8.6 juta dalam tempoh sama tahun lepas, disumbangkan terutamanya oleh kenaikan hasil pemegang lesen antarabangsa.

– BERNAMA


Pengarang :