Sebahagian pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang menghadiri program ceramah Rapat Mega KEADILAN di Taman Melawati, Gombak pada 11 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

PRU15: Polis keluarkan 2,148 permit ceramah, tahan empat lelaki

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Polis mengeluarkan sebanyak 2,148 permit bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Operasi PRU15 Datuk Seri Hazani Ghazali berkata 326 permit dikeluarkan di Sabah, Pahang (300), Sarawak (293), Perak (221), Johor (208), Kedah (180), Kelantan (147), Selangor (112), Negeri Sembilan (103), Melaka (94), Terengganu (89), Pulau Pinang (40), Perlis (23) dan Kuala Lumpur (12).

Beliau berkata tiada ceramah tanpa permit direkodkan semalam.

Katanya, polis telah membuka 20 kertas siasatan iaitu Selangor (empat), Kuala Lumpur (empat), Sarawak (tiga), Sabah (dua) dan masing-masing satu di Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu antaranya melibatkan kesalahan menghasut, ugutan jenayah, merosakkan bendera dan papan tanda milik parti politik serta calon

“Polis turut menahan empat lelaki iaitu tiga di Pahang dan seorang di Sarawak yang disiasat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Pilihanraya 1954 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata pihaknya mengesan satu video tular di media sosial awal pagi tadi, bertujuan menimbulkan kegusaran orang ramai dalam tempoh kempen PRU15.

Menurutnya, siasatan mendapati video berdurasi 30 saat memaparkan rakaman video di Dewan Karisma Institut Kemahiran Belia Negara, Pagoh, Johor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah disunting semula pemilik akaun TikTok @pokokremia bertajuk ‘Pastikan tidak berlaku, Gombak Beware’.

“Video tersebut adalah rakaman semasa Hari Penjumlahan Undi PRN Johor yang berlaku di Dewan Karisma Institut Kemahiran Belia Negara, Pagoh, Johor pada 12 Mac lepas melibatkan DUN N07- Bukit Kepong, Johor.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan tidak memuat naik sebarang kenyataan atau komen di media sosial yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian masyarakat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :