EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman menjawab soalan ketika Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 23 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Tawar skim gaji atlet jalani latihan sepenuh masa, tumpu lonjak prestasi

SHAH ALAM, 23 NOV: Tawaran skim gaji untuk atlet berpotensi antara aspek dirancang Kerajaan Negeri supaya golongan itu menjalani latihan sepenuh masa, kata EXCO sukan.

Menurut Mohd Khairuddin Othman, insentif itu dikhususkan untuk sukan yang menawarkan lebih 15 pingat emas antaranya olahraga, renang, menembak, wushu dan berbasikal.

“Perbincangan lanjut bersama jurulatih dan persatuan sukan negeri akan diselaras untuk mengenal pasti elemen tambahan yang diperlukan bagi mencapai sasaran pingat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

“Penambahbaikan dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan prestasi Selangor melonjak dengan menumpukan semua yang akan dipertanding pada SUKMA nanti,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab pertanyaan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei, Mohd Khairuddin berkata pendekatan sains sukan dan teknologi juga ditekankan sebagai sokongan bagi meningkatkan prestasi kontinjen.

Tambahnya, aspek kejurulatihan ditambah baik dengan mengenal pasti jurulatih sepenuh masa, sama ada tempatan mahupun luar negara yang mampu membawa atlet ke tahap global.

“Selain mengambil kira faktor pengalaman, semua jurulatih perlu mengguna pakai dan menerapkan sains sukan serta bantuan teknologi dalam program persediaan atlet,” katanya.

 


Pengarang :