Lebih 20,000 kes jenayah siber direkodkan di Malaysia sepanjang 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALSELANGOR

Tubuh pasukan atasi jenayah siber, dana RM20 juta tangani risiko curi data

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 25 NOV: Sebanyak RM20 juta diperuntuk untuk tempoh lima tahun bagi membentuk Pasukan Tindak Balas Kecemasan Siber (CERT Selangor) bagi mempertingkat aspek keselamatan dan daya tahan siber.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pasukan keselamatan siber itu akan diperkasa dari semasa ke semasa dengan RM2 juta diperuntuk pada tahun depan sebagai suntikan awal (jumpstart).

Katanya, CERT Selangor berfungsi sebagai pertahanan barisan depan melindungi, mengesan, bertindak balas terhadap serangan, mengurangkan risiko pendedahan, kecurian dan penyalahgunaan data rakyat Selangor.

“CERT Selangor akan memfokuskan keselamatan sistem, data serta infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya di pembentangan belanjawan hari ini.

Amirudin menjelaskan jenayah siber di negeri ini mengakibatkan kerugian RM98.2 juta setakat September 2022 hingga memberi kesan kepada keyakinan rakyat dan pelabur dalam ekonomi digital dan internet.

Beliau menambah CERT Selangor juga selaras dengan pelan tindakan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2021-2024 yang dikeluarkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

“Pasukan ini juga akan menjalinkan kerjasama bersama NACSA dan agensi lain bagi tujuan perkongsian maklumat berkaitan keselamatan siber serta menjaga ruang internet Malaysia secara kolaboratif,” katanya.


Pengarang :