Kejadian tanah runtuh di belakang premis perniagaan di Jalan Tun Razak, Raub pada 18 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang
AGENDANASIONAL

Bomba: Tanah runtuh di Raub, tiada mangsa terlibat

KUANTAN, 18 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mengesahkan berlaku kejadian tanah runtuh di laluan belakang premis perniagaan di Jalan Tun Razak di bandar Raub, hari ini.

Ketua Zon 3 JBPM Pahang Sharulnizam Nasir bagaimanapun berkata runtuhan tanah daripada ketinggian 15 meter dan membabitkan kawasan seluas 30 meter itu tidak melibatkan mangsa.

“Pihak bomba dimaklumkan kejadian pada 2.45 petang dan pemeriksaan dilakukan bagi memastikan kawasan itu selamat. Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui menerusi status di akaun Facebooknya memaklumkan Majlis Daerah Raub (MDR) akan melakukan kerja pembersihan runtuhan dan menutup laluan belakang bangunan terlibat dengan segera.

“Saya menasihatkan peniaga (di premis terlibat) supaya memastikan tiada pekerja atau sesiapa menetap di bilik belakang bangunan itu kerana dibimbangi jika kejadian berulang, ia boleh membahayakan nyawa,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :