Geotaman Gombak-Hulu Langat merangkumi 20 geotapak dikenal pasti berpotensi dan mempunyai kepentingan geologi adalah aset sangat bernilai untuk Selangor dan negara. Foto Facebook GOMBAK-HULU LANGAT GEOPARK
AGENDABERITA UTAMA

Geotaman Gombak-Hulu Langat antara fokus pelancongan Selangor tahun depan

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri akan menjadikan pelancongan geo yang melibatkan projek Geotaman Gombak-Hulu Langat (GHL) sebagai satu daripada fokus pelancongan pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata ini selaras dengan kempen pelancongan Selangor, ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere’ yang memfokuskan kepada pasaran antarabangsa.

Menurutnya melalui pelancongan geo, pelancong berpeluang melawati sesuatu kawasan geotapak bagi menikmati warisan geologi kebangsaan, budaya dan cara hidup geokomuniti setempat.

Katanya sebagai agensi promosi pelancongan rasmi negeri Selangor, Tourism Selangor kekal giat mempromosikan projek Geotaman GHL melalui pelbagai usaha.

“Antaranya seperti kerjasama yang telah diadakan di World Travel Market, London bersama British Geology Survey dan National Geographic Traveller UK, hebahan di media sosial secara berterusan serta hebahan awam dalam beberapa siri Jelajah Selangor Penyayang.

“Pengiktirafan geopark kepada Selangor merupakan satu pencapaian buat negara khususnya Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam memelihara kelestarian alam semula jadi serta pengurusan mampan bagi kawasan yang memiliki nilai geotapak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Azrul Shah berkata ia juga selaras dengan matlamat Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam kenyataan sama berkata, kementerian yakin kerjasama erat dapat memastikan geotaman diurus dengan baik.

Dato’ Rosli Isa berkata beliau turut mengalu-alukan kerjasama di kawasan yang mempunyai kepentingan geologi bagi tujuan penyelidikan saintifik, pendidikan, penjanaan ekonomi penduduk setempat dan pembangunan mampan.

Pada 16 November lalu, KeTSA mengumumkan kawasan Geotaman GHL dan Stong Geopark diiktiraf sebagai geotaman kebangsaan di bawah Program Pembangunan Geopark.

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan pada 14 November lepas iaitu pengiktirafan ketujuh dan kelapan selepas Lembah Kinta dan Lenggong Geopark di Perak, Jerai Geopark (Kedah), Kinabalu Geopark (Sabah), Labuan Geopark (Labuan) dan Sarawak Delta Geopark (Sarawak).

Berkeluasan 1,129.55 kilometer persegi, Geotaman GHL kaya dengan geotapak pelbagai taraf selain kewujudan kuarza terpanjang Asia Tenggara, landskap pergunungan serta pembentukan beberapa lembangan daratan.


Pengarang :