Pemain Korea Selatan meraikan kejayaan mara ke pusingan kalah mata selepas perlawanan menentang Portugal dalam Piala Dunia 2022 di Stadium Education City, Al Rayyan, Qatar pada 2 Disember 2022. Foto REUTERS
AGENDASUKANKINI

Piala Dunia: Korea Selatan kalahkan Portugal, mara ke pusingan kalah mati

DOHA, 3 DIS: Pemain simpanan Korea Selatan Hwang Hee Chan menyumbang gol kemenangan buat negaranya untuk menundukkan Portugal 2-1 pada pusingan akhir Kumpulan H Piala Dunia di sini pada Jumaat, sekali gus menempah tiket ke Pusingan 16.

Keputusan di Stadium Education City itu bermakna Korea Selatan layak ke peringkat kalah mati selaku naib juara mengetepikan Uruguay di tangga ketiga dengan perbezaan jumlah jaringan, lapor Xinhua.

Walaupun tewas mengejut, Portugal masih mendahului kumpulan dengan enam mata.

Portugal mendahului perlawanan seawal minit kelima, apabila Ricardo Horta menjaringkan gol hasil hantaran lintang Diogo Dalot.

Korea Selatan yang perlu menang untuk berpeluang layak ke pusingan seterusnya cuba merapatkan jurang pada minit ke-17 namun, jaringan Cho Gue Sung dibatalkan kerana ofsaid.

Pasukan itu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 hasil sepakan sudut Son Heung Min yang memberikan Kim Young Gwon peluang terbuka untuk membolosi gawang lawan.

Jaringan Hwang pada masa kecederaan memastikan kemenangan Korea Selatan 2-1 ke atas Portugal.

Korea Selatan menyertai Jepun dan Australia untuk menjadi pasukan AFC ketiga yang mendapat tempat dalam pusingan kalah mati.

Mereka akan menentang pemenang Kumpulan G Isnin depan manakala Portugal bertemu pasukan di tempat kedua dari Kumpulan G Selasa depan.

– BERNAMA


Pengarang :