Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim (tengah) meluangkan masa beramah mesra bersama para peserta skating dari Indonesia pada pertandingan Melaka Open Speed Skating Challenge 2022 di Stadium Tun Fatimah dekat Semabok, hari ini. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Kementerian arah sedia kerangka pelan atasi isu tunggakan gaji pemain bola

MELAKA, 17 DIS: Satu kerangka pelan tindakan perlu diwujudkan dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi kelab bola sepak di Malaysia terutama melibatkan tunggakan gaji pemain.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata ia penting sebagai usaha mengenal pasti punca berlakunya permasalahan tersebut yang sering melanda pengurusan kelab dan penajaan bola sepak di negara ini.

“Ini mungkin kaedah mencari penyelesaian lebih tepat dan ruang semua pihak yang berdepan masalah kewangan khususnya, berbincang untuk selesaikan hutang gaji mereka kepada pemain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Melaka Open Speed Skating Challenge 2022 di Stadium Tun Fatimah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu tunggakan gaji pemain yang melanda skuad Melaka United FC seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah sedia maklum dengan permasalahan yang melanda pemain dan pengurusan Melaka United FC (MUFC), namun setakat ini belum ada perbincangan lebih teliti dengan pihak pengurusan kelab.

“Kami akan menilai perkara ini. Pun begitu, dalam masa yang sama kami cuba mendalami permasalahan yang dihadapi mereka termasuk mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama pengurusan pasukan,” katanya.

Adam Adli berkata bukan sahaja MUFC, malah beberapa lagi kelab bola sepak bergelut dengan dilema yang serupa dan KBS akan bekerjasama dalam mencari solusi yang betul dan tepat.

“Bagaimanapun KBS tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengarah atau menetapkan apa-apa ketentuan penyelesaian serta meletakkan garis masa untuk menyelesaikannya memandangkan pengurusan kelab adalah swasta atau di bawah kerajaan negeri.

“Perkara ini kena diteliti betul-betul tapi kami percaya akan ada jalan keluar terbaik bagi setiap pasukan termasuk Melaka United FC dan usaha memastikan isu tunggakan gaji tidak lagi berulang,” katanya.

Beliau juga menolak faktor gaji yang tinggi menjadi punca pengurusan kelab terbeban kerana setiap tangga gaji pemain diberikan berdasarkan penilaian prestasi dan kemampuan kelab adalah berbeza.

Sebelum ini, media melaporkan pemain skuad Kancil berdepan kemelut tunggakan gaji dan perkara tersebut masih berlarutan sehingga kini.

– BERNAMA


Pengarang :