Asrama pelatih Rumah Sahabat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Hulu Langat yang siap dibaik pulih dengan peruntukan RM200,000 daripada Mais. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor (Mais)
AGENSISELANGOR

Mais sumbang RM200,000 bantu baik pulih rumah pemulihan riqab terjejas bah

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 27 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntuk RM200,000 untuk membaik pulih dan membina semula kemudahan di rumah pemulihan riqab Mais Hulu Langat yang terjejas banjir tahun lalu.

Agensi itu memaklumkan Rumah Sahabat Mais kini kembali beroperasi selepas kerja baik pulih berkenaan selesai.

“Peristiwa banjir yang berlaku sekitar hujung Disember 2021 mengakibatkan beberapa bahagian bangunan ini runtuh dan hilang. Ia hampir memusnahkan Rumah Sahabat iaitu salah satu rumah pemulihan riqab Mais.

“Namun hasil bantuan sumbangan Mais sebanyak RM200,000 yang diluluskan awal tahun ini daripada peruntukan zakat asnaf riqab membolehkan Rumah Sahabat kembali ceria dan kini sudah boleh beroperasi seperti sediakala,” katanya di Facebook.

Mais menjelaskan peruntukan berkenaan dimanfaatkan bagi tujuan pembinaan semula bilik detox, dapur, dewan makan dan baik pulih asrama terjejas banjir.

Majlis simbolik penyerahan sumbangan RM200,000 disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Riqab Mais Tan Sri Hashim Meon baru-baru ini.

“Kejadian banjir buruk yang membinasakan bangunan Rumah Sahabat perlu dibantu agar mereka dapat beroperasi seperti sedia kala seterusnya dapat membantu Mais dalam usaha pemulihan pelatih daripada kalangan asnaf riqab,” katanya Hashim.


Pengarang :