Beberapa penduduk Kampung Durian Mentangau, Dungun sudah mula membersihkan rumah masing-masing meskipun keadaan banjir belum pulih sepenuhnya ketika tinjauan pada 23 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa bah Terengganu, Kelantan menurun kepada 48,363 dalam dua hari

SHAH ALAM, 23 DIS: Jumlah mangsa bah di Terengganu dan Kelantan menurun kepada 48,363 orang setakat 12 tengah hari tadi, berbanding 72,266 pada 21 Disember lalu.

Laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menunjukkan jumlah mangsa di Terengganu seramai 25,174 orang manakala Kelantan 23,189, dengan 230 pusat pemindahan sementara dibuka.

Beberapa negeri mengalami banjir sejak Sabtu berikutan hujan lebat selama beberapa hari, namun air dilaporkan semakin surut dan membolehkan ramai penduduk pulang ke kediaman masing-masing.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan dan ribut petir berterusan di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu pada sebelah pagi.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :