Anggota bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Jirat, Kuala Krai, Kelantan pada 20 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu menurun kepada 68,977 orang

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 21 DIS: Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan menunjukkan sedikit penurunan daripada 72,266 kepada 68,977 orang setakat 4 petang tadi.

Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan jumlah terkini mangsa banjir di Kelantan iaitu 30,352 orang yang dipindahkan di 121 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Di Terengganu pula seramai 38,625 orang ditempatkan di 272 PPS yang beroperasi.

Negeri lain yang terjejas banjir iaitu Pahang dengan 29 mangsa di satu PPS, Johor (48 mangsa di dua PPS) dan Perak (26 mangsa di satu PPS).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk hingga esok di Terengganu melibatkan beberapa daerah antaranya Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Cuaca sama turut diramal di Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Selain itu, amaran hujan lebat berterusan tahap waspada diramal seluruh Kelantan dan beberapa tempat di Terengganu melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Pahang (Jerantut dan Maran) serta Johor (Segamat, Batu Pahat dan Pontian).


Pengarang :