Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika sidang media mengenai serbuan dan tangkapan pusat panggilan sindiket penipuan tawaran kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada 4 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Polis sahkan remaja perempuan hilang di Sepang

SEPANG, 26 DIS: Polis mengesahkan kehilangan seorang remaja perempuan dari Taman Salak Maju di sini, yang ditularkan menerusi aplikasi Whatsapp.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata laporan kehilangan Salsabila Putri Mad Nasir, 13, dibuat oleh abang remaja itu Mohammad Fitra Mad Nasir, di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, kira-kira pukul 10 pagi semalam.

“Menurut laporan yang dibuat abangnya, kehilangan Salsabila Putri disedari pada pukul 2.30 pagi semalam (25 Disember).

“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan homestay itu mendapati, Salsabila Putri telah keluar rumah dengan berpakaian serba hitam dan berjumpa dengan seorang lelaki, yang telah membawa remaja itu keluar daripada kawasan perumahan tersebut.

“Pengadu juga telah menghubungi adiknya beberapa kali tetapi tidak dapat,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Fitra ketika dihubungi berkata sebelum kejadian, adik bongsu dari enam beradik itu tidak merajuk atau bergaduh, dengan mana-mana ahli keluarga.

“Kami sekeluarga baru sampai dari Pulau Pinang dan kami datang ke sini untuk bercuti.

“Adik saya berketinggian 165 sentimeter dengan anggaran berat 50 kilogram,” katanya menambah semasa keluar dari homestay itu, Salsabila Putri berpakai serba hitam, berpelitup muka warna kelabu dan kasut bewarna kelabu.

Mohammad Fitra berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai adiknya untuk menghubungi beliau di talian 017-4807301 atau 011-11232617.

– BERNAMA


Pengarang :