Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan (dua, kanan) bergambar bersama barisan penulis pada majlis pelancaran buku kumpulan drama muzikal Mendam Rindu di Galeri Seni Halus Aswara, Kuala Lumpur pada 29 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sembilan pelajar Aswara terbitkan buku kumpulan drama muzikal ‘Mendam Rindu’

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Sembilan graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berganding bahu menghasilkan buku kumpulan drama muzikal ‘Mendam Rindu’.

Dihasilkan pelajar ijazah sarjana muda penulisan kreatif, naskhah karya empat penulis iaitu Azielahaneem Idris, Fatema Ksani, SN Hayani, Ain Hidayah Ahmad Bohari siap dalam tempoh tiga bulan melalui bimbingan pensyarah.

Pengarangnya Naim al-Kalantani menjelaskan penghasilan naskhah itu bukan untuk memenuhi elemen pemarkahan subjek tetapi bagi melunaskan impian mereka menghasilkan satu produk istimewa.

“Semasa di semester empat kami mempelajari subjek drama muzikal. Di situlah kami sentiasa dilatih untuk menghasilkan karya yang bermutu.

“Kami cuba menerbitkan karya tersebut menerusi subjek perniagaan penerbitan. Pensyarah menyokong dan membantu merealisasikannya walaupun kami sudah tamat pengajian,” katanya kepada Selangorkini.

Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan (empat,kanan) melancarkan buku kumpulan drama muzikal Mendam Rindu di Galeri Seni Halus Aswara, Kuala Lumpur pada 29 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Karya sulung itu menerima pujian Sasterawan Negara Dato’ Dr Anwar Ridhwan yang merasmikan buku tersebut di Galeri Seni Halus, Aswara di sini hari ini.

Dr Anwar menyifatkan kumpulan drama itu memiliki ciri-ciri dan elemen sebuah karya muzikal bermutu tinggi yang mampu menyentuh hati pembaca.

“Mereka ini pelapis penulis di negara kita. Penghasilan buku tersebut sangat baik dan saya harap ia boleh pergi ke peringkat lebih tinggi,” katanya merujuk naskhah yang dijual pada harga RM28 senaskhah di kedai buku dan seni Tokosue.

Dua gadis membaca buku kumpulan drama muzikal Mendam Rindu yang baru dilancarkan oleh Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan di Galeri Seni Halus Aswara, Kuala Lumpur pada 29 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :