Laluan Seni Pekan Lama. Foto Tourism Selangor
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

12 tempat menarik perlu dilawati jika bercuti di Kuala Selangor

Oleh TOURISM SELANGOR

Kuala Selangor merupakan destinasi menarik yang menawarkan pelbagai aktiviti untuk penggemar alam semula jadi dan budaya. Terdapat pelbagai tarikan untuk dinikmati daripada berjalan melalui taman alam dan melihat kelip-kelip sehingga merasai masakan tempatan yang lazat.

Tarikan pelancongan

Tidak dinafikan Kuala Selangor terdapat pelbagai ‘hidden gem’ yang tidak diketahui penduduk Selangor. Dikelilingi dengan destinasi pelancongan yang ‘instagrammable’ untuk dikunjungi dan pelbagai aktiviti untuk dilakukan, Kuala Selangor ialah tempat yang ideal untuk percutian anda.

Husin Fauzi Farm

Terletak di pertengahan Kuala Selangor, Husin Fauzi Farm ialah sebuah ladang yang mempunyai 40 jenis haiwan yang menawarkan pelbagai aktiviti untuk anda sekeluarga.

Ladang ini mempunyai zoo haiwan peliharaan yang mana pelawat boleh berinteraksi dengan pelbagai binatang seperti kuda, lembu, kambing dan Arnab. Kanak-kanak juga boleh menunggang kuda dan merasai keseronokan memberi makanan kepada haiwan.

Selain itu, tempat ini juga menawarkan sukan memanah sebagai aktiviti yang menyeronokkan. Husin Fauzi Farm ialah destinasi menarik untuk keluarga yang mencari pengalaman yang menyeronokkan dan interaktif.

Taman Alam Kuala Selangor

Taman Alam Kuala Selangor

Taman alam ini merupakan rumah kepada pelbagai jenis flora dan fauna termasuk spesies burung dan rama-rama yang jarang ditemui. Terdapat sebanyak 156 spesies burung yang mana 57 daripadanya merupakan burung migrasi yang berhijrah dari Siberia dan Russia.

Waktu paling sesuai untuk berkunjung ke tempat ini ialah pada September hingga April yang mana taman ini menjadi pusat migrasi burung jadi pengunjung boleh merancang lawatan mereka pada bulan-bulan ini.

Antara spesies burung yang terdapat di sini adalah bangau, burung bakau, raja udang dan helang bahu hitam, manakala burung migrasi terdiri daripada purple heron, great eagle, tiger shrike, arctic shrike dan banyak lagi.

Pengunjung juga disyorkan untuk membawa teropong untuk memerhati burung. Dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari, pengunjung boleh berjalan santai di sepanjang laluan dan menikmati suasana yang tenang.

Kelip-Kelip Kampung Kuantan

Tarikan popular ini wajib dikunjungi bagi mereka yang berminat untuk melihat kelip-kelip yang berhabitat di paya bakau Kuala Selangor. Kelip-kelip di sini merupakan spesies ‘pteroptyx tener’ dan ia mengeluarkan kerlipan cahaya dengan serentak pada kadar 3 kerlipan sesaat.

Pekerja di sini akan menyediakan perahu tradisional dan dayung bagi mengelakkan pencemaran bunyi yang boleh mengganggu habitat kelip-kelip.

Bermula dari pukul 7.30 malam hingga 10.30 malam setiap hari, pengunjung boleh menaiki bot sepanjang paya dan saksikan kerlipan cahaya yang indah daripada kelip-kelip!

Laluan Seni Pekan Lama

Laluan seni Pekan Lama adalah laluan seni dan budaya yang terletak di Pekan Lama yang merupakan sebuah bandar di Kuala Selangor. Laluan ini dipenuhi dengan 15 jenis seni mural berasaskan warisan di dinding bangunan lama, dan lengkap dengan batu bata yang berwarna-warni sebagai tapak pejalan kaki.

Terdapat beberapa karya seni yang menarik seperti Bunga Artistik oleh artis Izwan Rahimi, Fendi Rosli, dan Andi Syafie serta Lombong Bijih Timah oleh CO2 Mural. Beberapa artis dengan latar belakang berbeza seperti Fendigua, Husna Helmee dan Loque turut menyumbang kepada penghasilan mural yang unik dan indah di laluan ini. Laluan ini sangat sesuai untuk gambar Instagram dan OOTD anda.

Masjid Raja Lumu

Masjid Raja Lumu

Masjid Raja Lumu merupakan mercu tanda di Kuala Selangor yang dibina di atas tapak bekas Masjid Lama Kuala Selangor. Masjid ini dirasmikan sebagai Masjid Diraja ke-9 di Selangor.

Ia terletak di kaki Bukit Melawati dan terkenal dengan seni bina yang indah dan moden dengan kubah tembaga, gerbang yang cantik serta tingkap kaca berwarna. Nama masjid ini dipilih sempena nama Raja Selangor pertama yang lebih dikenali sebagai Sultan Salehuddin Shah. Masjid ini terletak berhampiran dengan Kelip-Kelip Kg Kuantan dan Bukit Melawati yang menjadikannya tambahan sesuai pada jadual pelancongan anda.

Sasaran Art Beach

Sasaran Art Beach merupakan galeri yang terletak di perkampungan nelayan di Kuala Selangor bernama Kampung Sasaran. Galeri ini menyatukan komuniti seni tempatan melalui pelbagai pameran seni dan bengkel, sama ada dalam negara atau luar seperti Bengkel Seni Seramik Antarabangsa Sasaran dan Pameran Residensi Artis Sasaran 2019.

Ia dianjurkan oleh Sasaran Art Association yang mana mereka memberi peluang kepada artis untuk menampilkan bakat kesenian mereka dengan ‘line-up’ untuk projek mural terkini melibatkan Bibichun, Sliz, Ng Kim Heoh dan Jason Teo Jia Hao.

Gastronomi

Setelah meluangkan seharian melawati tarikan pelancongan, tiada yang lebih baik daripada menikmati makanan yang sedap dan memuaskan untuk mengisi perut kosong. Kuala Selangor mempunyai pelbagai jenis makanan tempatan dan antarabangsa yang ditawarkan, jadi pastikan anda mencuba pelbagai menu yang berbeza daripada pilihan restoran ini.

Kinnaree Thai Restaurant

Kinnaree Thai Restaurant ialah restoran pork-free­ di Kuala Selangor yang menyediakan hidangan Thai dan terletak berdekatan dengan Sungai Selangor.

Restoran ini menawarkan pelbagai jenis hidangan termasuk pilihan kegemaran Thai tradisional dan vegetarian. Restoran ini juga mempunyai akuarium untuk menyimpan ikan segar yang ditangkap.

Warung Ibu Nasi Ambeng

Warung Ibu Nasi Ambeng

Tahukah anda bahawa nasi ambeng merupakan makanan warisan Selangor? Jika anda terigin untuk menikmati keaslian nasi ambeng, anda boleh dapatkan di Warung Ibu Nasi Ambeng.

Warung ini terkenal dengan sajian nasi ambeng iaitu masakan Jawa tradisional. Nasi ambeng ialah hidangan yang terdiri daripada nasi, ayam, mee goreng, tempe dan tauhu, dan kesemuanya dibuat dengan resipi berbeza bagi memvariasikan hidangan sampingannya.

Hidangan ini sangatlah popular dan disukai ramai, terutamanya bagi masyarakat Indonesia dan Malaysia.

TK Coconut Farm Ville

Terletak di Tanjung Karang, ladang yang berkonsepkan ‘food court’ ini menawarkan pelbagai makanan berasaskan kelapa seperti coconut shake, jeli kelapa, dan ais krim kelapa. Ladang ini juga mempunyai gerai yang menawarkan pilihan makanan panas dan makanan ringan untuk dipilih.

Ladang ini adalah tempat yang sesuai bagi anda untuk berehat dan makan selepas mengunjungi tarikan pelancongan Kuala Selangor.

TK Coconut Farm Ville

Warung Ketupat Kampung Permatang

Warung ini adalah tempat sarapan yang menarik serta menyajikan hidangan tradisional Melayu yang lazat iaitu ketupat, kebiasaannya dimakan pada Hari Raya Aidilfitri.

Hidangan ini sesuai dimakan dengan rendang, kuah lodeh atau kuah kacang. Disamping itu, mereka juga
menyajikan hidangan popular tempatan yang disukai ramai, iaitu Sate. Warung ini akan mengingatkan anda kepada pagi Aidilfitri!

Auntie Foo Cafe

Dengan menu kopitiam pork-free yang klasik seperti roti bakar kaya, sandwich telur dan kopi, Auntie Foo Café ialah satu lagi port sarapan yang menarik di daerah ini. Selain itu, kafe ini juga menjual pelbagai cenderamata dari Kuala Selangor, termasuk poskad.

Pelanggan juga boleh mendapatkan trip pelancongan peribadi yang tersedia di sekitar Kuala Selangor.

Penginapan

Lengkapkan perjalanan dua hari anda di Kuala Selangor dengan pilihan penginapan unik dan sesuai dengan pelbagai bajet. Pilihan ini terletak di lokasi yang berhampiran dengan tarikan menarik yang disenaraikan di atas, bagi memastikan anda menemui tempat ideal untuk berehat dan bersantai semasa lawatan anda.

Hotel Le Shore

Dengan hanya 15-minit perjalanan ke Sky Mirror, Hotel Le Shore terletak di jeti memancing yang berusia seratus tahun di Sungai Selangor. Nikmati pemandangan matahari terbenam yang indah saat anda tidur di bilik-bilik hotel yang dihias moden.

Tetamu juga dapat menjamu selera dengan makanan laut yang segar dan lazat di restoran hotel. Alami gaya hidup seperto di kampung di hotel Pasir Penambang ini.


Pengarang :