BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tersembunyi dek halangan teknologi, mungkinkah makhluk asing wujud?

SHAH ALAM, 12 JAN: Semenjak James Webb Space Telescope (JWST) mengeluarkan imej-imejnya, ramai takjub dengan kebesaran dan keindahan alam semesta. Rupa-rupanya banyak lagi perkara tersembunyi di sebalik alam semesta selama ini yang kita tidak tahu. Persoalan yang menjadi renungan dengan banyaknya objek-objek samawi yang baru kita cerap ini ialah adakah kemungkinan suatu hari nanti kita bakal menemui makhluk asing yang selama ini tersembunyi dek kekangan teknologi manusia? Ahli fizik Itali Enrico Fermi pernah tertanya-tanya, “Di mana semua orang?” bagi merujuk kepada makhluk asing di alam semesta yang luas ini.

Fermi mengambil inisiatif untuk melakukan pelbagai kiraan mengenai kebarangkalian keberadaan planet seperti Bumi di luar sana, kebarangkalian munculnya kehidupan di planet-planet tersebut, kebarangkalian kemajuan teknologi dan pelbagai lagi. Berdasarkan kiraan tersebut, Fermi berkesimpulan bahawa sepatutnya ada tamadun makhluk asing di luar sana. Sepatutnya Bumi diziarahi oleh mereka. Daripada sinilah munculnya asal-usul Paradoks Fermi.

Mengapa?

Skala Kardashev

Alam semesta berusia 13.8 bilion tahun. Kini, sudah terdapat jutaan galaksi, bintang dan planet. Di galaksi Bima Sakti sahaja terdapat 40 bilion planet yang boleh diduduki. Dalam tempoh yang sangat panjang itu dan jumlah planet yang boleh didiami begitu banyak, mana mungkin makhluk hidup hanya di Bumi saja, mana yang lain?

Bumi pula berumur sekitar 4.5 bilion tahun. Hidupan mula muncul di Bumi 3.5 bilion tahun yang lalu. Homo sapien pula mula muncul 300,000 tahun yang lalu. Dalam tempoh 300,000 tahun, kita hampir eksploitasi seluruh jenis tenaga yang ada di Bumi. Dijangka dalam tempoh 100 tahun, Bumi akan mencapai tamadun tahap I.

Menurut ahli fizik Rusia Nikolai Kardashev, tahap suatu tamadun berdasarkan kemajuan teknologinya dapat diukur melalui penggunaan tenaga yang dapat digunakan oleh tamadun itu. Dengan cara itu, Kardashev mencadangkan idea Skala Kardashev iaitu tamadun tahap I merujuk pada tamadun yang telah menggunakan seluruh tenaga di Bumi. Tamadun tahap II pula ialah tamadun yang menggunakan seluruh tenaga Matahari. Tamadun tahap III pula ialah tamadun yang menggunakan seluruh tenaga galaksi.

Buat masa ini, Bumi masih belum pun mampu mencapai tamadun tahap I, tetapi dijangka kita dapat mencapainya dalam tempoh 100 tahun lagi. Tahap II pula kita dapat capai dengan eksploitasi tenaga matahari.

Tenaga matahari yang sampai ke Bumi cuma sekitar 0.0000000001% sahaja. Daripada peratusan itu, tidak sampai 40% pun yang dapat kita gunakan kerana selebihnya diserap dan dipantulkan oleh Bumi.

Bayangkan jika kita dapat gunakan semua tenaga matahari? Kita telah ada cetak biru untuk gunakan tenaga matahari secara langsung iaitu menggunakan sfera Dyson. Dijangka kita dapat mencapai tamadun tahap II dalam tempoh ribuan tahun lagi. Jika ia dapat direalisasikan, hubungan antara planet-planet lain dalam sistem solar ibarat melancong ke negara-negara lain.

Tamadun tahap ke III pula dapat dicapai jika kita mampu menggunakan tenaga seluruh galaksi Bima Sakti. Bumi dijangka dapat mencapai tahap ini dalam tempoh jutaan tahun lagi.

Apa kepentingan pengkelasan tamadun ini dengan Paradoks Fermi? Bayangkan umur alam semesta ialah 13.8 bilion tahun. Bumi pula lahir sekitar 4.5 bilion tahun yang lalu. Sebelum terbentuknya Bumi, terdapat tempoh sekitar 10 bilion tahun untuk makhluk asing mencapai tamadun tahap III.

Paradoks Fermi

Sepatutnya kita telah boleh nampak kapal-kapal angkasa bertebaran seperti dalam filem Star Wars dan Star Trek. Saintis pun telah menemui banyak planet yang boleh diduduki yang lebih tua daripada Bumi. Di mana mereka? Selain itu, dengan saiz alam semesta yang terdapat jutaan, malah bilion planet seperti Bumi. Dalam galaksi Bima Sakti saja ada 40 bilion planet, di mana mereka? Inilah dia paradoks kerana kebarangkalian untuk makhluk asing itu ada sangat tinggi, tetapi kita masih tidak jumpa lagi.

Saintis telah mencadangkan pelbagai hipotesis untuk menyelesaikan paradoks ini.

Pertama, makhluk asing berada di planet lain, tetapi mereka tidak mempunyai kepintaran seperti manusia. Mereka mungkin wujud dalam bentuk mamalia, reptilia, malah mungkin dalam bentuk mikroorganisma.

Kedua, mungkin tiada langsung makhluk asing. Terbentuknya hidupan adalah kes yang amat nadir. Planet lain mungkin ada udara, air ataupun sumber yang cukup untuk manusia hidup. Tetapi planet-planet tersebut mungkin tidak mempunyai unsur-unsur tertentu yang membolehkan terbentuknya hidupan.

Ketiga, alam ini terlalu besar iaitu 93 bilion tahun cahaya diameternya. Itu pun cuma saiz yang manusia mampu cerap. Maka, makhluk asing ini mungkin tinggal terlalu jauh sehingga sukar untuk kita berhubung. Jika kita hantar maklumat, Kita tidak tahu bila maklumat itu akan sampai. Jika sampai, kita pun tidak pasti sama ada makhluk asing ini dapat menerimanya ataupun tahu akan kehadiran signal daripada kita.

Keempat, mungkin makhluk asing menerima mesej daripada kita, tetapi mereka tidak faham apa yang kita hantar. Mungkin juga mesej ataupun signal mereka pernah sampai kepada kita, tapi kita tidak sedar kerana kita tidak faham.

Kelima, mungkin kita masih belum jumpa makhluk asing kerana manusia dan makhluk asing masing-masing menunggu signal. Kita dan mereka tidak mempunyai usaha untuk menghantar signal.

Keenam, makhluk asing mungkin telah wujud lebih awal daripada Bumi dan manusia sehinggakan mereka mungkin telah mencapai tamadun tahap III, tetapi tamadun mereka musnah sebelum munculnya manusia.

Ketujuh, mereka mungkin sedang memerhatikan kita seperti mana kita memerhatikan haiwan di Zoo. Mereka tutup kehadiran mereka dan terus melakukan cerapan ke atas kita.

Kelapan, makhluk asing mungkin sedang sibuk menyimpan tenaga untuk kegunaan masa depan iaitu sewaktu alam telah tiada tenaga lagi. Sewaktu mereka menuai tenaga ini, mereka tidak aktif. Mereka akan bangun semula suatu hari nanti setelah alam semesta semakin kekurangan tenaga.

Saintis pun sebenarnya tidak mengharapkan kita tidak dapat jumpa makhluk sentien seperti manusia. Cukup sekadar tumbuhan ataupun haiwan, telah menjadi suatu penemuan yang besar buat manusia seperti penjejakan kaki di Bulan.


Pengarang :