Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Konvensyen Pilihanraya Negeri Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 14 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Aktifkan segera jentera parti, mula kerja hadapi pilihan raya negeri – Amirudin

SHAH ALAM, 14 JAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor mahu jentera parti itu diaktifkan segera sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN Selangor hari ini perlu menjadi titik mula semula untuk semua jentera di setiap peringkat mula bekerja.

“Justeru hari ini kalau boleh jadi titik mula semula untuk semua jentera di peringkat cabang, daerah mengundi untuk aktifkan jentera, paling tidak mulakan kembali perhimpunan, mesyuarat, rangka program dan perancangan kerana kita tak punya masa, paling lama bulan enam kita perlu bubar secara rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Kalau dulu kita bising, rimas kerana kita tidak punya kuasa bila nak bubarkan tetapi kali ini kita masih mempunyai waktu lima hingga enam bulan kerana menteri besar sahaja boleh mencadangkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk bubarkan DUN.

“Saya beritahu awal-awal, insya-Allah ia tidak akan bubar segera tapi semua kena mulakan (bekerja) daripada sekarang,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam hari ini.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor berkata jentera parti tidak boleh terlalu alpa dengan kemenangan diraih dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya harap pertemuan ini jadi titik penting untuk kita hilangkan rasa letih setelah berdepan dengan PRU dan menghilangkan rasa keselesaan dan kegembiraan melampau kita setelah berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan dan lihat pimpinan utama Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Sebagaimana pantasnya timeline di Twitter, atau pantasnya bertukar berita di Tiktok begitulah juga pertukaran nada politik.

“Kalau kita tidak hati-hati, alpa, selesa kemungkinan keselesaan dan kealpaan akan memakan dan menjatuhkan kita dalam pilihan raya,” katanya.


Pengarang :