Jasmine Suraya Chin menghadiri majlis anjuran majalah Harper Bazaar di ibu kota baru-baru ini. Foto Facebook Jasmine Suraya Chin
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Jasmine Suraya cari kelainan, tumpu karya cabar pemikiran

Oleh Intan Syuhada Akhir

SHAH ALAM, 17JAN: Selepas memegang watak inspektor dalam drama bertajuk Hilang, pelakon Jasmine Suraya Chin Xian Mei mencuba watak seorang wanita gila (psycho) dalam drama Ku Angkat Kau Dengan Bismillah.

“Buat pertama kali, pengarah Osman Ali memberi peluang untuk saya pilih watak. Saya memilih watak wanita yang ada masalah halusinasi yang jarang kita lihat di televisyen,” katanya yang sering memegang watak antagonis.

Beliau juga berasa tiba masanya industri seni tempatan lebih terbuka menghasilkan karya yang mencabar pemikiran sekali gus keluar kelaziman genre hantu dan cinta.

“Penonton kita membesar dengan menonton drama arus perdana yang ditayangkan di televisyen. Jadi, sudah menjadi tabiat penonton kita untuk mencari bahan tontonan yang mereka anggap biasa.

Jasmine Suraya Chin (kiri) bersama Khir Rahman ketika menjalani penggambaran drama bersiri Hilang baru-baru ini. Foto Facebook Jasmine Suraya Chin

“Bila datang naskhah yang dianggap berbeza, kita ingat ia susah hendak difahami. Perlu akur, penonton ambil masa. Lihat Korea Selatan, mereka ambil masa lama untuk masyarakat benar-benar menghargai karya mereka,” katanya.

Yakin anak tempatan punya kebolehan menghasilkan naskhah bermutu tinggi, Jasmine berharap lebih banyak rumah produksi berani untuk mengetengahkan variasi naskhah yang membawa isu politik dan jenayah.

“Industri kita tidak teruk, kita dalam proses membina bakat dengan ubah tabiat penulis atau pelakon yang kadangkala masuk set dalam keadaan tidak bersedia dengan skrip. Ada banyak budaya kena ubah dan ia ambil masa.

“Mengapa ramai penggiat seni Hollywood melabur untuk naskhah Korea Selatan? Sebab mereka cakap tentang politik, jenayah dan banyak lagi genre serta jalan cerita yang pelbagai.

“Jangan sekat kreativiti. Setiap anak seni ada kelebihan untuk hasilkan pelbagai jenis naskhah.
Bukan cerita hantu dan cinta sahaja,” kata pemegang ijazah pengajian politik antarabangsa dan ekonomi Universiti Monash, Melbourne, Australia.

Sambut Tahun Baharu Cina

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu juga sering disangka Melayu. Betapa tidak, pertuturannya fasih, tidak kedengaran pelat ketika berlakon di layar perak.

Nama Suraya pula diambil bersempena nama sahabat karib ibunya ketika mereka bersama-sama melanjutkan pelajaran di luar negara.

Foto peribadi Jasmine Suraya Chin yang dikongsikan di Facebook

Wanita berumur 33 tahun itu tidak pulang meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga sejak tiga tahun lalu. Semuanya gara-gara pandemik Covid-19 termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selain tempah cheongsam, paling saya tidak sabar ialah kepulangan ahli keluarga dari luar negara. Kami akan berkumpul buat pertama kali selepas enam tahun tidak bertemu. Ia bakal jadi sejarah manis buat kami.

“Tradisi kami pada malam tahun baharu ialah bakar mercun panjang berwarna merah di hadapan rumah. Biasanya, lantai kami akan penuh dengan kertas merah yang melambangkan tuah.

“Selain itu, apa yang menarik tahun ini mestilah acara makan besar. Antara hidangan yang wajib ada di atas meja ialah ikan masak kukus dan sup ikan. Tapi, tentulah bukan saya yang masak,” katanya.

Bagi pelakon filem PASKAL ini, beberapa resolusi tahun baru disenarai, baik daripada segi kewangan mahupun kerjaya.

“Kalau diberi peluang dan ada kesempatan, saya ingin menyambung pelajaran. Namun, saya juga harus akur dengan jadual penggambaran yang padat,” katanya.


Pengarang :