Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (duduk dua dari kanan) dan Pengerusi Serantau Kumpulan CP Sompop Mongkolpitaksuk (duduk dua dari kiri) selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan ladang ayam ‘breeder’, ladang penetasan dan ladang pengeluaran telur di ibu pejabat CP di Bangkok, Thailand pada 18 Januari 2023. Foto PKPS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerjasama PKPS, CP sasar pengeluaran ayam 14.8 juta ekor menjelang 2025

SHAH ALAM, 25 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bekerjasama dengan konglomerat makanan terkemuka dunia, Charoen Pokphand Group (CP) bagi meningkatkan pengeluaran ayam kepada 14.8 juta ekor menjelang 2025.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata inisiatif itu sebahagian Program Intervensi Harga Makanan Ehsan (PIHE) melibatkan pembangunan ladang ayam ‘breeder’, ladang penetasan dan ladang pengeluaran telur.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (kanan) dan Pengerusi Serantau Kumpulan CP Sompop Mongkolpitaksuk (kiri) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan ladang ayam ‘breeder’, ladang penetasan dan ladang pengeluaran telur di ibu pejabat CP di Bangkok, Thailand pada 18 Januari 2023. Foto PKPS

Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pihaknya akan mengenal pasti lokasi bersesuaian dan melengkapkan prosedur pembangunan infrastruktur manakala CP membawa kepakaran teknikal.

“Pengalaman dan kekuatan CP sebagai salah satu pengeluar makanan terbesar dunia dengan operasi dan pelaburan di lebih 40 negara akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pengurusan PKPS dalam melaksanakan PIHE,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek terbabit mampu mengurangkan kebergantungan import ayam tempatan sekali gus menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran negeri itu.

“Dokumen ini juga merangkumi langkah penyelesaian jangka pendek bagi bekalan ayam dan telur segar menerusi kaedah import terus daripada ladang CP serta perkongsian ilmu dan latihan antara kedua-dua organisasi.

“CP selaku pemilik pasar raya terkemuka Lotus’s juga akan meneroka potensi kerjasama bagi pemasaran dan penjualan produk Ehsan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi melawat ladang ayam dan telur Kumpulan CP di Wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand pada 18 Januari 2023. Foto PKPS

Dalam pada itu, Dr Mohamad Khairil berkata projek menelan belanja RM50 juta untuk fasa pertama (breeder) akan dibincangkan lebih lanjut bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, barisan EXCO serta pengarah agensi negeri.

“Selangor beriltizam untuk menjadi sebuah negeri mampan diri daripada segi bekalan makanan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada import.

“Justeru, PKPS sebagai salah sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan dalam hal sekuriti makanan negeri merencana projek berimpak tinggi bagi memastikan bekalan makanan asas rakyat Selangor terus mampan untuk tempoh akan datang,” katanya.


Pengarang :