Unit Kawalan Keselamatan Makanan dan Kesihatan Am Bahagian Kesihatan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPKj melakukan pemeriksaan ke atas premis makanan sekitar Kajang pada 9 Januari 2023. Foto FACEBOOK MPKj
PBTSELANGOR

Lima premis makanan sekitar Kajang dikompaun atas pelbagai kesalahan

SHAH ALAM, 11 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengeluarkan lapan kompaun kepada pengusaha kedai makan atas pelbagai kesalahan pengendalian makanan dan perlesenan.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata pemeriksaan ke atas lima premis makanan itu dilakukan di Bandar Damai Perdana dan Taman Desa Bukit Cahaya Isnin lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis, dua kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak mendapatkan suntikan imunisasi demam kepialu dan apa-apa penyakit yang diarahkan oleh majlis,” katanya menerusi Facebook hari ini.

MPKj memberitahu dua kompaun dikenakan kepada pengusaha kerana tidak memakai apron dan penutup kepala yang bersih semasa jualan dan penyediaan makanan.

“Masing-masing satu kompaun tidak memasang dan menyelenggara perangkap minyak, pemegang lesen tidak menjaga dan menyelenggara setiap bahagian premis serta tidak mengambil langkah pencegahan tikus, lalat atau serangga.

“Satu kompaun juga dikeluarkan kepada pemegang lesen yang tidak memastikan lantai di premis tidak licin dan mendatangkan bahaya,” katanya.

Lima anggota Unit Kawalan Keselamatan Makanan dan Kesihatan Am Bahagian Kesihatan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPKj terlibat dalam pemeriksaan itu.


Pengarang :