SHAH ALAM, 28 JAN: Pembangunan prasarana termasuk usaha menangani isu banjir menjadi keutamaan Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning V Ganabatirau tahun ini.
Beliau berkata inisiatif itu diambil bagi memastikan tragedi banjir besar pada Disember 2021 yang menjejaskan ramai penduduk di kawasan berkenaan tidak berulang.

“Kita fokuskan kepada program yang disusun pelbagai pihak antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran supaya perancangan untuk tangani banjir dapat dipercepatkan.
“Pembangunan prasarana buat penduduk untuk tangani banjir adalah keutamaan bagi menjamin keselamatan jangka masa panjang berbanding pemberian bantuan bakul makanan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata pihaknya turut memberi tumpuan kepada isu kutipan sampah, penurapan jalan raya, baik pulih padang dan taman permainan.
Oktober tahun lalu, Ganabatirau memaklumkan kerja baik pulih ban di beberapa titik panas banjir di Dewan Undangan Negeri Kota Kemuning selesai dilaksana melalui peruntukan Kerajaan Selangor.
Jelasnya, kerja naik taraf membabitkan Kampung Bukit Lanchong, Lanchong Jaya, Alam Megah, Kampung Baru Hicom dan Taman Sri Muda diharap mengurangkan limpahan air ketika hujan lebat.
Katanya lagi, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengambil langkah proaktif membersihkan beberapa longkang di kawasan ini termasuk membina longkang dan dinding konkrit yang menelan belanja RM28 juta.