Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) mendengar penerangan daripada Air Selangor bagi menyelesaikan isu paip pecah di Prima Sri Gombak yang kerap berlaku dalam pertemuan di kediaman rasminya di Shah Alam pada 20 Januari 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

Paip usang hampir 1km di Prima Sri Gombak diganti, siap Oktober

SHAH ALAM, 20 JAN: Saluran paip sepanjang 838 meter di jajaran Prima Sri Gombak akan diganti bagi mengatasi masalah paip pecah yang kerap berlaku, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, paip simen asbestos 450mm sedia ada akan ditukar dengan jenis baharu, berkualiti dan berdaya tahan serta dijangka siap selewat-lewatnya Oktober ini.

“Bagi penyelesaian jangka pendek, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memasang injap untuk mengurangkan kawasan gangguan dan jumlah pengguna yang terkesan.

“Langkah ini akan selesai selewat-lewatnya Mac. Pejabat Parlimen Gombak sentiasa berhubung dengan Air Selangor bagi memastikan masalah ini selesai secepat mungkin,” katanya di Facebook.

Menurut Amirudin, saluran paip sedia ada berusia lebih 20 tahun, usang dan cenderung bocor atau rosak akibat tekanan air tinggi sekali gus menyebabkan gangguan bekalan.

Terdahulu, ahli parlimen Gombak itu mendengar penjelasan dan taklimat daripada Air Selangor bagi mengetahui situasi semasa keadaan paip di jajaran terbabit.

Sehingga hujung 2021, agensi terbabit menggantikan 556km jajaran paip di negeri ini, manakala baki 260km sedang dilaksana bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air bersih dan selamat.


Pengarang :