Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Dataran Batu Laut Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 31 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk tidak sabar berbelanja di jualan murah, barangan berkualiti lagi berbaloi

KUALA LANGAT, 1 JAN: Rakyat menyambut baik komitmen Kerajaan Selangor meneruskan program Jualan Ehsan Rakyat pertengahan Januari ini hingga Mac depan.

Jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diakui menjimatkan kos perbelanjaan bulanan berikutan harga barangan asas ditawar jauh lebih murah berbanding pasaran.

Penduduk Jamilah Abdullah, 72, berkata dia sememangnya berharap jualan itu diteruskan lebih kerap di kawasan berhampiran rumahnya di Kampung Batu Laut di sini.

Warga emas itu mengakui tidak pernah terlepas peluang membeli produk seperti ayam, daging dan minyak masak setiap kali lori bergerak PKPS singgah di Dataran Pantai Batu Laut.

“Sebelum ini empat kali PKPS jual barang di sini, makcik tidak pernah terlepas satu pun. Kalau bukan makcik yang turun beli sendiri, suami yang tolong belikan.

“Alhamdulillah, program ini banyak menolong penduduk kampung sebab harganya murah-murah. Tidak hairan berduyun-duyun orang datang beli barang,” katanya ketika ditemui di Jelajah Ehsan Rakyat di Dataran Batu Laut di sini semalam.

Bagi pesara kerajaan Mat Taib Saari, 67, jualan murah seperti itu dinantikan rakyat berpendapatan rendah (B40) selain mempunyai ahli keluarga ramai.

“Harga ayam dan telur di JER sangat murah kalau dibandingkan dengan pasaraya atau kedai runcit. Macam pakcik ada ramai keluarga, telur kadang-kadang kena beli sepapan manakala ayam dua ekor untuk seminggu.

“Jadi bagus juga kalau program ini disambung dan kalau boleh berterusan dari semasa ke semasa,” katanya yang menetap di Kampung Endah.

Sementara itu, Suffian Salleh, 68, mahu program berkenaan dibuat secara berkala dan tidak terhenti pada Mac sahaja supaya penduduk mudah mendapat bekalan.

“Alhamdulillah, jualan murah ini sangat berbaloi, kalau ikutkan telur di pasaran luar harganya boleh cecah RM17 sepapan, tetapi di jualan murah negeri hanya RM10 sepapan.

“Itu salah satu sebab pakcik mahu bermulateruskan sebab kami penduduk kampung, jadi pendapatan cukup-cukup makan. Apabila ada jualan murah, sekurang-kurangnya boleh tampung pendapatan,” katanya.

Jualan murah PKPS diteruskan bermula 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Fasa pertama jualan dari September hgga awal bulan ini, jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jualan Ehsan Rakyat menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak (RM25 sebotol) dan beras lima kg (RM10).

 


Pengarang :